Najib seru rakyat segera daftar vaksinasi COVID-19

44

15 JUN: Jumlah rakyat yang mendaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hanya sekadar 13 juta berbanding 32 juta rakyat di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sasaran imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan masih jauh dengan 17 juta lagi rakyat negara ini masih belum mendaftarkan diri untuk menerima vaksin.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan menyeru kepada semua pihak agar mendatfarkan diri untuk divaksin dan turut mengesahkan Pekan juga masih rendah pendaftarannya yang perlu ditingkatkan. 

“Bagi saya sendiri, saya bersyukur kerana berkesempatan menerima vaksin pada dua bulan lalu. Saya tahu ada yang sebarkan macam-macam berita di WhatsApp selepas saya diberikan vaksin kononnya saya ada masalah kesihatan akibat vaksin.

“Ada yang kata saya di ICU kerana kesan sampingan vaksin. Ini tidak benar, badan saya juga tidak ada apa-apa mikrocip dan saya tidak menjelma jadi wolfverine atau mana-mana mutan,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Najib memaklumkan bahawa vaksin COVID-19 merupakan benteng utama rakyat negara itu untuk melawan penularan wabak tersebut di negara ini.

“Vaksin ini penting untuk melindungi diri, ada yang menyoal mengapa perlu divaksin? Memandangkan ada kemungkinan akan dijangkiti COVID-19 juga benar

“Namun kebarangkalian untuk jangkitan itu menjangkiti diri kita amat sukar dan amat rendah bagi mereka yang telah menerima vaksin.

“Jika dijangkiti pun, vaksin yang ada dalam tubuh badan akan melindungi kita dari simptom atau kesan mengancam nyawa,” katanya. 

Sementara itu, Najib turut mencadangkan kepada kerajaan agar menggerakkan usaha maksimum untuk pendaftaran vaksin dalam kalangan rakyat dan optimumkan kadar vaksinasi.

“Kita sudah kesuntukan masa dan berada di tahap yang amat kritikal saya berharap saudara saudari semua dapat sama-sama membantu menjayakan dua fokus utama kita ini,” katanya. 

Terdahulu, kadar pemberian suntikan vaksin ke seluruh negara terus meningkat dan semakin menghampiri sasaran 200,000 dos sehari.

Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), kadar suntikan vaksin atau inokulasi yang direkodkan semalam ialah sebanyak 197,963 dos, tertinggi sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mula dilaksanakan pada 23 Februari lalu.

Kadar tertinggi pemberian suntikan vaksin ke seluruh negara yang direkodkan sebelum ini ialah sebanyak 157,949 dos pada 10 Jun lalu

Sehingga kini, sebanyak 1,413,039 individu telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan seramai 3,275,194 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 4,688,233.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.