Lelaki Dipercayai Bakar Al-Quran Ditahan Polis

41

15 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki bukan Islam kerana dipercayai membakar senaskhah tafsir al-Quran di belakang tandas awam berhampiran Tabung Haji di Pekan Kuala Nerang, Alor Setar, Kedah malam tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan selepas menerima laporan polis kira-kira jam 12.25 tengah malam daripada orang awam dan siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan kerana marah dan kecewa dengan kekasihnya seorang wanita Islam yang berubah hati.

Menurut beliau, pengadu mengatakan menerima video daripada rakannya melalui WhatsApp mengenai seorang individu sedang membakar al-Quran dipercayai berlaku bersebelahan tandas awam berhampiran bangunan tersebut.

“Berikutan itu pengadu bersama dua rakan ke lokasi kejadian namun mendapati tiada sesiapa di situ dan hanya menemui cebisan al-Quran yang dibakar.

“Mereka kemudian memaklumkan kejadian ini kepada polis dan satu kertas siasatan dibuka berhubung kejadian itu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman memaklumkan, lokasi kejadian di hadapan rumah kedai suspek tidak mempunyai kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan kawasan itu terbuka.

Berikutan itu, katanya, polis mengambil sisa cebisan tafsir al-Quran yang dibakar di lokasi kejadian untuk membantu siasatan dan naskhah tafsir al-Quran yang dibakar itu adalah hadiah pemberian wanita terbabit.

“Hasil soal siasat, suspek mendakwa dia tidak berbuat untuk menyentuh sensitiviti agama namun dia ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435/295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda bagi kesalahan Seksyen 435 Kanun Keseksaan manakala hukuman penjara dua tahun, denda dan kedua-duanya bagi kesalahan Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pendakwaan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan yang boleh memecahkan keamanan dan memudaratkan ketenteraman awam,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.