Kerajaan rangka pelan pemulihan pandemik COVID-19 secara berfasa

50

15 JUN: Kerajaan hari ini mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merupakan satu strategi peralihan Malaysia keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah merangka pelan ini dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup saudara dan saudari sekalian.

Tambah Muhyiddin, pelan berkenaan juga mengambil kira ancaman COVID-19 yang masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital.

“Pelan berkenaan adalah satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa ataupun back to normalcy.

“Di samping itu, peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung bulan Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian membuatkan kita lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

“Keadaan ini amat berbeza sekali dengan situasi lebih setahun yang lalu apabila kita melaksanakan PKP buat kali pertama di mana kita masih belum mempunyai vaksin. Satu-satunya jalan keluar pada masa itu ialah lockdown dan tindakan kesihatan awam untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Ini adalah keadaan yang sangat menyakitkan kerana ‘total lockdown’ secara berterusan akan memberi kesan buruk kepada kehidupan, namun kita tidak tahu bilakan ianya akan berakhir dan bagaimana kita dapat keluar daripada kemelut ini.

“Bagaimanapun, hari ini, dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak dan pelaksanaan proses vaksinasi yang semakin rancak, kita telah dapat melihat sinar yang lebih terang di hujung terowong,”katanya dalam perutusan khas sempena pelancaran Pelan Pemulihan Negara hari ini.

Jelas beliau,  pada permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kadar vaksinasi adalah sekitar 5 ribu hingga 8 ribu dos sehari dan telah meningkat ke 50 ribu hingga 80 ribu sekitar bulan Mei.

“Malah semalam, kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos dan saya yakin usaha ini akan terus dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari dalam bulan-bulan mendatang.

“Kita bukan sahaja sudah berjaya memberikan vaksinasi kepada hampir kesemua frontliners, malahan lebih 50 peratus daripada golongan yang berusia 60 tahun ke atas telah menerima dos pertama.

“Kita akan terus mengutamakan golongan rentan COVID-19 yang lain seperti mereka yang mempunyai komorbiditi, dan seterusnya mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Terkini, kerajaan sedang mengkaji pemberian vaksin kepada anak anak kita yang berusia 12 hingga 17 tahun,” katanya.

Muhyiddin berkata sememangnya, perkembangan positif kadar vaksinasi harian ini memberi keyakinan kepada Kerajaan bahawa Pelan Pemulihan Negara dapat kita jayakan bersama.

“Ini kerana, lebih ramai yang dilindungi dengan vaksinasi, semakin longgar kawalan pergerakan yang boleh kita laksanakan, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka, dan kita boleh mula beralih secara teratur dan selamat kepada norma kehidupan pra pandemik, insya-Allah.  

“Dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat dan tindakan kesihatan awam yang masih diteruskan, saya percaya jumlah kes harian COVID-19 akan terus mencatatkan penurunan. 

“Pengalaman negara-negara lain yang telah meningkatkan kadar vaksinasi di negara masing-masing juga telah menunjukkan penurunan kes-kes harian baharu yang ketara. Ini pastinya akan memudahkan kita untuk melaksanakan pelan pemulihan negara yang komprehensif,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.