JAKIM bawa isu hina Islam kepada Majlis Raja-Raja

32

15 JUN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyediakan kertas kerja berhubung isu penghinaan terhadap Islam, sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri, berkata JAKIM diminta merangka kertas kerja itu dalam masa terdekat.

“Umum mengetahui insiden yang berlaku baru-baru ini yang membabitkan sensitiviti keagamaan.

“Pihak berkuasa sudah menjalankan siasatan dan kita sedia menanti keputusannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 11 Jun lalu, Portal PN BBC melaporkan, polis menahan enam lelaki, membabitkan seorang pelanggan dan enam penghantar makanan yang berusia antara 19 hingga 40 tahun selepas terbabit dalam pergaduhan, sebelum keenam-enam mereka direman dua hari keesokannya.

Tindakan itu dibuat selepas polis menerima laporan polis daripada seorang pengadu lelaki berusia 19 tahun kira-kira jam 2.30 petang kerana tidak berpuas hati terhadap seorang pelanggan menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama ketika memesan makanan, sebelum dia bersama sekumpulan penghantar makanan memukul lelaki berusia 29 tahun itu.

Mengulas lanjut, Zukifli berkata, tidak sepatutnya semangat muhibah dibina sejak puluhan tahun lalu di negara ini ‘dirobohkan’ hanya kerana beberapa isu berbangkit.

“Malaysia bukanlah baru berumur setahun jagung. Kita sudah hidup lebih 60 tahun bersama. Jika diumpamakan seperti manusia, sudah memutih uban di kepala, malah amat luas ilmu dan pengalamannya.

“Namun, isu dipandang remeh itulah kadangkala boleh mencetuskan api yang amat marak. Hal inilah yang memerlukan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan isu dan permasalahan,” katanya.

Beliau berkata, sikap bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) adalah amalan terbaik dalam menguruskan sebarang bentuk perbezaan.
“Sebagaimana bola dan kedai mamak boleh menyatukan semua bangsa tanpa mengira latar belakang politik, pendidikan serta warna kulit, saya fikir kita juga ada pelbagai bentuk alasan untuk terus hidup dalam semangat muhibah daripada memilih untuk berseteru dan menimbulkan provokasi pada prinsip-prinsip utama agama,” katanya.

Selain itu,  Zulkifli berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa teguh dan prihatin dalam memelihara kesucian agama.

“Terima kasih atas keprihatian NGO yang sentiasa berusaha memelihara kesucian agama Islam dan dalam masa sama mengukuhkan hubungan persefahaman antara kaum serta agama,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.