Harga Sayur Dijangka Naik Hingga 40 Peratus 

62

15 JUN: Beberapa jenis sayur-sayuran dijangka akan mengalami peningkatan harga mulai semalam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands, Pahang.

Difahamkan, peningkatan harga berlaku antara 30 hingga 40 peratus kerana pengeluaran terpaksa dihenti serta-merta. Punca utama ialah 12,000 pekerja asing dan tempatan di kawasan tanah tinggi itu tidak dapat keluar bekerja

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong berkata antara harga sayur-sayuran yang dijangka meningkat ialah tomato, timun jepun, cili, kobis, kacang buncis, lada manis atau lada benggala dan semua jenis salad.

Menurut beliau, bekalan memang akan terjejas kerana setiap hari Cameron Highlands mengeluarkan sebanyak 565 metrik tan sayur-sayuran.

“Semua sayur-sayuran di Cameron Highlands naik kerana baki bekalan sayur-sayuran tidak sampai dalam 40 peratus. Jadi bakinya itu pasti akan ditawarkan pada harga yang tinggi.

“Semalam patut sudah boleh nampak kesan kenaikan harga di pasaran. Dijangka petang ini, sayur-sayuran akan sampai ke pasar borong. Sebab ini consignment, sudah jual baru mereka bayar kepada petani. 

“Di situ, baru kita tahu harga akan melonjak atau tidak tetapi mesti harga melonjak sebab bekalan sayur kurang,” katanya kepada media, hari ini. 

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan antara kawasan di Cameron Highlands yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin ialah Kampung Raja iaitu Sungai Ikan; Blue Valley; Taman Matahari Cerah; Taman Desa Corina dan Kampung Baru Kampung Raja.

Ekoran daripada itu, dianggarkan sebanyak 65 peratus pengusaha kebun sayur di kawasan Cameron Highlands terjejas susulan PKPD terbabit

Get real time updates directly on you device, subscribe now.