1,010 permohonan Bantuan Zakat 3.0 setakat 3 petang ini

75

15 JUN: Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima sebanyak 1,010 permohonan menerusi program Bantuan Kecemasan Zakat 3.0, setakat jam 3 petang ini.

Menurut jurucakap Baitulmal MAIWP, program bantuan itu yang dibuka bermula jam 8 pagi tadi, ditawarkan kepada pemohon daripada tiga wilayah, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Permohonan ini dibuka kepada mereka yang belum pernah menerima apa-apa inisiatif kita (Baitulmal MAIWP) umumkan sebelum ini, termasuk tidak menerima peruntukan di bawah bantuan kecemasan zakat pada tahun lalu.

“Ketika program sama pada tahun sebelumnya, kita sudah meluluskan 15,000 permohonan, manakala  kali ini kita mensasarkan 5,000 pemohon dengan peruntukan RM2.5 juta.

“Permohonan yang layak akan diproses dan diluluskan dalam tempoh dua minggu, manakala penerima bakal memperoleh bantuan sekali bayar bernilai RM500 terus ke akaun masing-masing,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC, hari ini.

Ditanya alasan paling banyak diterima bagi permohonan hari ini, beliau berkata, kesemuanya adalah terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19. 

“Masalah dihadapi pemohon terkesan ini, antaranya tidak boleh menjalankan perniagaan, kehilangan pekerjaan dan paling ramai adalah pendapatan dipotong.

“Di antara tiga wilayah itu, Kuala Lumpur mencatatkan permohonan paling tinggi untuk program bantuan kali ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun nilai bantuan disalurkan itu tidak terlalu besar, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penerima dalam kalangan individu terkesan pandemik terbabit.

“Program bantuan ini yang akan ditutup pada 30 Jun depan, bertujuan membolehkan MAIWP membantu golongan B40 yang terjejas pendapatan, susulan pelaksanaan PKP 3.0 untuk mempunyai makanan di atas meja, menyelesaikan sewa rumah dan menyediakan keperluan asas,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.