Tengku Hassanal titah pulih semula Tasik Chini

34

14 JUN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memerintahkan aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan serta-merta.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, dalam satu kenyataan berkata baginda mengeluarkan perintah berkenaan selepas mengadakan lawatan mengejut di sekitar kawasan Tasik Chini, semalam.

Ahmad Khirrizal, baginda juga meneliti laporan yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung aktiviti perlombongan di kawasan terbabit serta tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

“Baginda bersetuju dengan langkah kerajaan negeri yang tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan baharu sejak 2019.

“Baginda selanjutnya menitahkan agar kerajaan negeri bersama-sama Kerajaan Persekutuan dalam bidang kuasa masing-masing dapat mengambil beberapa langkah.

TENGKU HASSANAL

“Tasik Chini adalah permata alam sekitar di bumi negeri Pahang Darul Makmur dan menjadi Tanah Rizab Bisfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di negara ini. Justeru pengiktirafan bertaraf dunia itu hendaklah dipertahankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Khirrizal berkata, Tengku Hassanal mengambil berat dan akan sentiasa memantau usaha kerajaan negeri dalam memastikan alam sekitar di Pahang sentiasa terjaga.

Katanya, baginda menyeru agar semua pihak sentiasa mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus tadbir yang baik supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati generasi akan datang.

“Baginda menitahkan kawasan bekas lombong dipulihkan semula dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian.

“Baginda juga menitahkan supaya kawasan Hutan Simpan Chini, Pekan seluas 4,600 hektar ditambah bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini serta kawasan persekitarannya,” katanya.

Beliau berkata, baginda berharap aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Tasik Chini yang sedang dilaksanakan dipergiatkan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu dan berkala membabitkan agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.