Pemimpin GPS Selesai Menghadap Agong

24

14 JUN: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mengemukakan tiga faktor penting dalam usaha memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi pasca pandemik ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara maya, hari ini.

Sesi menghadap baginda itu yang diadakan menerusi persidangan video dari Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya itu turut disertai tiga Presiden parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pertemuan selama 30 minit itu melibatkan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.

Tiga faktor penting yang dipersembahkan oleh Abang Johari tersebut ialah program vaksinasi COVID-19 di Sarawak akan dipercepatkan dan diselesaikan pada bulan Ogos depan bagi mencapai imuniti kelompok. 

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS turut mempersembahkan kestabilan pentadbiran kerajaan dalam memastikan program ekonomi dan pengurusan COVID-19 dapat dijalankan dengan baik serta pelaksanaan Pelan Keluar Ekonomi Pasca COVID-19.

Selain itu, beliau yang juga selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)   turut mempersembahkan pelaksanaan pelan ekonomi Sarawak pasca COVID-19.

Tiga presiden parti komponen GPS itu dalam kenyataan bersama selepas persidangan video itu berkata, mereka menyokong sepenuhnya tiga faktor utama yang dipersembahkan Abang Johari kepada Yang di-Pertuan Agong itu.

Sementara itu, sumber mengesahkan, tiada isu politik semasa termasuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) dibincangkan pada sesi menghadap itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.