Kerajaan PN belum boleh ditakrif sebagai gagal-Annuar Musa

84

14 JUN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) belum boleh ditakrif sebagai ‘gagal’ menangani isu penularan pendemik COVID-19, biarpun ada pihak tertentu berniat tidak baik dengan melancarkan kempen tanda pagar ‘#kerajaan gagal’.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata istilah “gagal” sangat subjektif untuk dijawab apatah lagi jika melihat pada perkembangan negara-negara lain dalam melawan pandemik COVID-19.

Ahli Parlimen Ketereh itu mengingatkan pihak berkenaan bahawa semua Menteri Kabinet kerajaan PN terpaksa mengangkat sumpah ketika situasi politik negara tidak stabil dengan kadar kes penularan COVID-19 sedang meningkat.

“Kita tidak berada dalam posisi terbaik, angkat sumpah sahaja terus kena berhadapan dan uruskan ketidakstabilan negara. Ini satu igauan untuk kerajaan kerana terpaksa jalankan tugas untuk stabilkan politik.

“Realitinya ya, memang politik tidak stabil, begitu juga ekonomi dan situasi COVID-19 sekarang. Harus diakui kerajaan dalam keadaan lemah tetapi bukan lemah mutlak, sebaliknya lemah dalam erti kata terpaksa bekerja dengan sumber terbatas dan perlu uruskan spektrum masalah yang besar,” katanya dalam temu bual secara langsung menerusi laman Facebook Garasi TV, malam tadi.

Malah, Annuar berkata sehingga kini semua negara dunia termasuk United Kingdom masih gagal menangani masalah penularan COVID-19 dengan kadar vaksinasinya masih kurang daripada 50 peratus populasi penduduknya.

“Ini cabaran untuk kerajaan tetapi di saat seperti inilah ramai yang nak serang, maka keluarlah hashtag kerajaan gagal. Beritahu saya negara mana yang sudah berjaya atasi COVID-19? Di United Kingdom menunjukkan kes positif secara purata minggu ini kira-kira 6,000 kes sehari.

“Ini membuktikan apabila orang kata kerajaan kita gagal, mereka bukan ambil data tetapi bercakap mengikut sentimen. England ‘gagah’ 200 tahun daripada kita, mereka juga negara pengeluar vaksin tetapi setakat ini belum pun capai 50 peratus vaksinasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar, berkata tidak ada negara yang boleh mengatakan mereka berjaya menangani COVID-19, selagi program vaksinasinya belum mencapai 80 peratus.

“Biarpun berdepan dengan pelbagai krisis kesihatan, ekonomi dan politik, namun kerajaan hari ini adalah kerajaan yang berfungsi dan tidak mempunyai masalah.

“Apa yang jadi hari ini (situasi politik) bukan perkara luar biasa, saya sudah melihat perjalanan Kabinet dari dahulu hingga sekarang. Kabinet hari ini yang paling tenang, saya tak dapat ingat satu pun peristiwa di mana timbulnya pertengkaran.

“Sudahlah terpaksa berfungsi dalam keadaan yang tidak ideal, anggotanya pula ‘rojak’. Tetapi terus terang saya katakan, seingat saya tidak ada satu pun peristiwa tegang, apa lagi yang boleh membawa kepada perpecahan,” katanya.

Annuar juga berpandangan proklamasi darurat yang berjalan ketika ini bukan sahaja tidak difahami rakyat tetapi juga ahli parlimen apabila ada antara mereka menggunakan ayat seperti meminta agar darurat ditamatkan atau tidak disambung.

“Darurat kali ini tidak boleh disambung kerana ia sudah declare dengan tarikh tutup yang jelas, iaitu pada 1 Ogos. Maka tidak timbul isu ia akan disambung secara automatik, melainkan kalau nak juga, kena buat proklamasi baharu.

“Kalau nak Parlimen bersidang, boleh. Proklamasi yang baharu itu nanti, jangan gantung Perkara 55, hanya beri kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Parlimen boleh bersidang tetapi bukanlah serentak.

“Apapun, kita ada pilihan. Jadi buatlah pilihan terbaik bagi membolehkan urusan menangani COVID-19 diselesaikan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.