Keputusan UMNO Tidak Desak PRU-15 Tepat-PAS

22

14 JUN: Keputusan UMNO untuk tidak mendesak kerajaan bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam waktu terdekat ini sebagai tepat dan kena pada masanya. 

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu merupakan keputusan yang amat wajar memandangkan kerajaan persekutuan sekarang termasuk negeri sedang fokus memerangi pandemik COVID-19 demi kesihatan dan keselamatan rakyat terjamin. 

“PAS berpandangan kenyataan tersebut amat tepat dan kena pada masanya memandangkan fokus seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri
sekarang adalah bagi memerangi pandemik Covid-19 yang masih belum reda. 

“Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini bukan sahaja dalam aspek kesihatan tapi juga aspek ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikongsikan di Facebook miliknya, hari ini. 

Tambah Takiyuddin, PAS yakin kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang proaktifdengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak bagi memastikan kebaikannya akan dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk Malaysia.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan mana-mana parti politik termasuk UMNO tidak perlu mendesak kerajaan Perikatan Nasional supaya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam waktu terdekat ini. 

Tajuddin berkata, jika tindakan tersebut diteruskan, ia hanya akan menyukarkan usaha kerajaan dalam memerangi penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak menjelaskan, seharusnya ahli UMNO membantu kerajaan dalam usaha memberi fokus mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus COVID-19.

Selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tajuddin menggesa semua pihak fokus kepada isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang lebih kritikal ketika ini dalam berdepan angka tinggi jangkitan kes positif COVID19 sekali gus tidak perlu berpolitik sepanjang masa. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.