38 petugas media buat liputan Olimpik terima dos pertama

18

14 JUN: Seramai 38 petugas media tempatan dan antarabangsa yang akan menjalankan tugas membuat liputan di Sukan Olimpik Tokyo 2020, sudah mendapat dos pertama suntikan vaksin COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEV) hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata mereka adalah sebahagian daripada lebih 5,000 wartawan dan pengamal media tempatan dan antarabangsa yang bakal mendapat suntikan vaksin di bawah program PICK.

Khariy berkata sehingga kini hanya lima peratus atau kira-kira 250 daripada lebih 5,000 petugas media sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan, Rabu lalu.

KHAIRY

Berikutan itu, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam proses memberikan janji temu kepada petugas dalam senarai berkenaan, termasuk mereka yang akan membuat liputan ke Sukan Olimpik Tokyo pada penghujung bulan depan.

“Hari ini kita mula memberi vaksin kepada lebih 38 petugas media, daripada 47 agensi tempatan dan antarabangsa yang akan membuat liputan di Sukan Olimpik Tokyo bagi mendapatkan suntikan dos pertama mereka di PPV MITEV dengan bantuan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).

“Selebihnya bagi petugas yang mendapat suntikan dos pertama seperti AstraZeneca, CITF akan mengatur janji temu dos kedua mereka supaya mereka sempat melengkapkan perlindungan mereka sebelum berlepas pada bulan depan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat CITF, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sebanyak 700 janji temu setakat hari ini diberikan kepada petugas media di seluruh negara untuk menerima suntikan dos pertama vaksinasi COVID-19.

Beliau menjelaskan bahawa CITF akan mengeluarkan lebih banyak janji temu dalam minggu ini, berbanding 1,500 yang dijanjikan pada Rabu lalu.

“CITF perlu mengimbangi keperluan vaksinasi buat rakan-rakan media kita, dengan keperluan imunisasi untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan komorbid yang turut diutamakan dalam fasa kedua PICK,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.