1,413 pesakit COVID-19 tahap 4 dan 5 maut setakat 13 Jun

69

14 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) sahkan seramai 1,413 pesakit COVID-19 di Malaysia yang berada pada tahap 4 dan 5 meninggal dunia dalam tempoh April hingga 13 Jun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata mereka adalah sebahagian daripada 59,895 pesakit  COVID-19 tahap 4 dan 5 dikesan dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan capaian data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis ( CPRC) Perkhidmatan Hospital, jumlah bilangan pesakit COVID-19 bagi kategori 4 dan 5 dari Mac 2020 sehingga 13 Jun 2021 adalah 104,122 (16%).

“Bilangan dan peratusan pesakit COVID-19 bagi kategori 4 dan 5 pada 3 bulan terakhir pula adalah seperti berikut April sebanyak 6,751 daripada 63,213 kes keseluruhan; Mei sebanyak 30,287 daripada 163,644 kes dan sehingga 13 Jun iaitu 22,857 daripada 74,254 kes, sekali gus menjadikan jumlah pesakit tahap 4 dan 5 pada 3 bulan terakhir ialah 59,895 kes atau 19.9 peratus.

“Bilangan dan peratus kes kematian pesakit COVID-19 bagi kategori 4 dan 5 pada 3 bulan terakhir ini daripada bilangan kes katergori 4 dan 5 adalah seperti berikut April sebanyak 146 kes kematian, Mei sebanyak 705 kes dan 562 kes menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 1,413 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menerusi aplikasi Zoom di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham mengesahkan, seramai 628,110 individu menjalani ujian saringan dengan kadar positif Covid-19 adalah 6.63% atau 41,630 kes positif, pada Minggu Epid-23.

Beliau berkata tiga negeri yang mencatatkan kadar positiviti tertinggi ialah Labuan iaitu 1,344 kes positif (13.72 peratus) daripada 9,799 ujian saringan dijalankan, diikuti Negeri Sembilan 4,035 kes positif atau 10.2 peratus daripada 37,309 ujian saringan dan Selangor iaitu 13,017 kes positif daripada 147,141 ujian saringan dijalankan.  

Katanya, secara keseluruhannya sebanyak 41,630 kes positif Covid-19 dilaporkan pada minggu epid ke-23 iaitu penurunan sebanyak 20 peratus berbanding minggu epid ke-22 dengan purata kes aktif setiap hari ialah 81,461 kes iaitu susut 0.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Dr Adham berkata, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga turut meningkat 4.1 peratus atau 454 daripada kes yang dirawat di ICU setakat 12 Jun lalu.

“Pengurangan kes ini dikesan bermula minggu epid ke-21 hingga ke-23. Kes kematian pula mencatatkan sebanyak 553 kematian, iaitu pengurangan sebanyak 13.7 peratus berbanding minggu epid ke-21.

“KKM juga merekodkan sebanyak 905 kes purata yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkat 3.9 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.