Rayuan BPR dibuka Selasa ini

80

13 JUN: Rakyat yang gagal dalam permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan mulai Selasa ini hingga 30 Jun nanti.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemohon boleh mengemukakan rayuan serta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata kerajaan sedar mungkin masih ada rakyat yang layak menerima BPR tetapi masih belum didaftarkan dalam pangkalan data kerajaan.

TENGKU ZAFRUL

“Permohonan rayuan boleh dibuat melalui dua kaedah iaitu secara dalam talian melalui portal rasmi BPR LHDNM dan penghantaran borang rayuan secara manual di cawangan, Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM secara janji temu sahaja.

“Setelah pangkalan data BPR dikemas kini, pembayaran rayuan BPR kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada Ogos iaitu BPR tambahan dan September ini bagi BPR fasa tiga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah kadar bantuan di bawah program BPR kerana mahu terus mengutamakan agenda prihatin rakyat bagi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup golongan rentan dan pekerja yang bergantung kepada upah harian.

Berikutan itu, Perdana Menteri berkata isi rumah yang mempunyai berpendapatan bawah RM2,500 bakal menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 manakala isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima RM300 dan orang bujang pula akan menerima RM100.

BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung Jun nanti. Bayaran ini adalah tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR September kelak sebanyak RM2.4 bilion.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.