Polis tahan 780 individu langgar SOP PKP

45

13 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 780 individu kerana melakukan pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu 748 individu dikompaun manakala 32 lagi direman kerana melakukan pelbagai kesalahan melanggar SOP PKP 3.0.

Katanya, antara kesalahan utama dilakukan mereka ialah tiada penjarakan fizikal (152), tidak memakai pelitup muka (137), gagal merekodkan butiran diri, daftar masuk premis (135), bawa penumpang berlebihan (54), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (70) dan lain-lain (232).

ISMAIL SABRI

Beliau berkata kerajaan hari ini juga mengumumkan pelaksanaan lima PKP Diperketatkan (PKPD) termasuk di Kampung Tabuan Hj Drahman, Kuching, Sarawak; PKPD Batu 3.5 Jalan Apas (kiri) di Tawau, PKPD Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu; PKPD di Taman Telipok dan Kampung Penimbawan di daerah Tuaran serta PKPD Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud, Sabah, mulai 15 hingga 28 Jun ini.

“PKPD Kampung Tabuan Hj Drahman dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat peningkatan mendadak kes COVID-19 di lokaliti berkenaan di mana 54 kes didapati positif direkodkan hasil ujian saringan dijalankan terhadap 138 individu dengan kadar positiviti ialah 39.1 peratus.

“Selepas penilaian risiko dilakukan pelbagai agensi dalam Jawatakuasa Teknikal PKP dan nasihat KKM maka kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Kampung Tabuan Hj Drahman, Kuching, Sarawak mulai Selasa ini hingga 28 Jun nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan berharap pelaksanaan PKPD di lima lokasi berkenaan dibuat bagi memudahkan KKM menjalankan tindakan pengawalan dan pengesanan kontak rapat dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan, sekali gus mengurangkan risiko penularan virus keluar daripada kawasan terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga bersetuju melanjutkan pelaksanaan PKPD di Taman Pelangi di Sempona dan PKPD Kampung Tanjung Kapor, Kudat, Sabah, selama 14 hari lagi sehingga 28 Jun depan berikutan masih terdapat penularan kes COVID-19 di kawasan terbabit.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju menamatkan pelaksanaan PKPD di empat kawasan di Sabah dan dua lokasi di Kedah, berkuatkuasa mulai 15 Jun nanti berikutan penurunan kes di kawasan terbabit.

Empat PKPD yang akan ditamatkan di Sabah ialah penamatan awal PKPD Jalan Klias 2 & 3, di Beaufort; PKPD Kg Kuala Menggatal, Kota Kinabalu; PKPD Kampung Assam, Lahad Datu dan PKPD di Kampung Payas-Payas dan Kampung Rampayan Laut, Kota Belud.

Manakala, dua PKPD yang akan ditamatkan di Kedah iailah PKPD Bandar Darul Aman, dan PKPD Lubuk Kawah, Jitra, Kedah mulai 15 Jun 2021.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.