PKP 3.0 dikaji semula jika kes bawah 4,000

45

13 JUN: Kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu  jika jumlah jangkitan harian COVID-19 Malaysia menurun kepada angka bawah 4,000 kes.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan risiko jangkitan harian seluruh negara dapat diturunkan.

“Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan apabila jumlah jangkitan harian negara turun kepada 4,000 barulah PKP 3.0 akan dikaji semula.

“Bukan bermakna kita tamatkan PKP 3.0, tetapi kita kaji semula dari segi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sama ada ia boleh dilonggarkan sedikit.

“Saya tak janji longgarkan (PKP 3.0) tetapi ia semua bergantung pada nasihat KKM menerusi penilaian risiko yang dibuat,” katanya pada sidang media selepas meninjau Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di Johor Bahru, Johor hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi.

Kerajaan mengambil keputusan menyambung PKP 3.0 untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa pada 15 Jun sehingga 28 Jun 2021 dengan mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari ketika ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.