Kerajaan iktiraf Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

40

13 JUN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menegaskan kerajaan tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

Sebaliknya, Takiyuddin berkata kerajaan akan memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa berkenaan dapat melaksanakan fungsinya sebagaimana yang diperuntukkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Seksyen 2 antara lain menyebut bahawa “Maka hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID 19)”.

Berikutan itu Takiyuddin menegaskan sebenarnya kenyataan medianya bertarikh 12 Jun 2021 berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berhubung dengan perisytiharan darurat dan hal-hal yang berkaitan dengannya di mana sebahagiannya kelihatan dipetik di luar konteks yang sebenarnya.

“Saya ingin mengulangi komitmen dan jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat termasuk mengiktiraf segala mekanisma yang wujud secara sah di sisi undang-undang. Dengan kata lain kerajaan mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang diwujudkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

TAKIYUDDIN

“Kerajaan juga tidak pernah campurtangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebaliknya memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata kerajaan juga terus berperanan menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan semasa tempoh darurat berkuat kuasa sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 11, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Justeru, Takiyuddin berkata dalam keadaan negara masih lagi berperang dengan Pandemik COVID-19, sebaiknya semua pihak perlu akur kepada fungsi masing-masing yang ditetapkan di bawah kerangka perundangan sedia ada.

Terdahulu, Takiyuddin dalam satu ciapan menerusi akaun Twitternya berkata tindakan berhubung nasihat Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat hanya satu usaha membetulkan peraturan sedia ada.

“Tiada siapa yang alih tiang gol, yang dibuat adalah betulkan peraturan permainan supaya membantu ‘referee’ buat pengadilan yang betul. Untuk mencapai matlamat bukan bermakna menukar ‘tiang gol’,” katanya dalam Twitter, hari ini.

Beliau membuat hantaran mengulas kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempersoalkan kenyataannya berhubung langkah Jemaah Menteri memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat.

Azalina dalam Twitter berkaitan kenyataan Takiyuddin sebelum itu berkata: “Sekiranya demikian (Jemaah Menteri menasihat), apa gunanya membentuk Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat 2021? Berhenti daripada menukar tiang gol.” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.