Jumlah kematian, kluster COVID-19 terus berkurangan

33

13 JUN: Jumlah kematian harian akibat COVID-19 merekodkan pengurangan sejak kelmarin apabila 64 kes dicatatkan hari ini.

Manakala kes sembuh mencatatkan angka melebihi 8,000 kes sejak semalam dengan sebanyak 8,163 direkodkan dan angka itu juga melebihi kes baharu pandemik terbabit hari ini, iaitu 5,304 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) adalah seramai 917 pesakit, manakala jumlah memerlukan bantuan pernafasan 452 pesakit.

“Kes aktif adalah sebanyak 73,324, manakala jumlah kluster adalah 2,477 kluster.

NOOR HISHAM

“Sebanyak 15 kluster baharu dikesan Kementerian Kesihatan (KKM), manakala kluster tamat (1,711) dan kluster aktif (766),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster baharu itu membabitkan 11 kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster pendidikan tinggi.

Jelasnya, kluster tempat kerja adalah Industri Jalan Sijangkang Utama, Industri Sungai Chandong Sembilan dan Industri Jalan Anggerik Mokara di Selangor; PLO Perindustrian 65, Tembikai Jalan Johor dan Kampung Choh di Johor serta Jalan Agaseh dan Lorong Satu A di Sabah.

Kluster tempat kerja lain, katanya, adalah Desa Tun Razak 2 di Kuala Lumpur, Industri Jalan Usaha Merlimau (Melaka) dan Industri Jalan 10 (Kelantan).

“Manakala bagi kluster komuniti, masing-masing dua dikesan di Sarawak, iaitu di Kampung Sebandi Hilir dan Kampung Tabuan Haji Drahman serta satu di Sabah, membabitkan kluster Kebayau.

“Kluster pendidikan tinggi adalah Dah Sintok, Kedah,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.