Insiden LRT: MOT tidak sembunyi sebarang maklumat

17

13 JUN: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung siasatan insiden tren transit aliran ringan (LRT) pada 24 Mei lepas.

Katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jawatankuasa MOT yang menyiasat mengenai insiden terbabit juga tidak pernah menyatakan tiada pihak boleh dipersalahkan kerana menyebabkan kejadian itu berlaku.

“Jawatankuasa Siasatan ini adalah jawatankuasa yang ditugaskan untuk menjalankan siasatan, bukannya badan kehakiman, justeru jawatankuasa ini tiada kuasa untuk menentukan kesalahan ke atas mana-mana pihak.

“Sebarang tindakan dalaman dan pentadbiran hendak diambil terhadap kakitangan terbabit dalam insiden ini, perlu berlandaskan kepada terma serta syarat diperuntukkan di dalam kontrak kerja yang ditandatangani mereka dengan pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

KA SIONG

“Ungkapan ‘tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak’ bukan bermaksud tiada yang bersalah,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Pada 10 Jun lalu, Ka Siong dilaporkan berkata, masalah teknikal dan kegagalan komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi (OCC) dengan pemandu (hostler) adalah antara punca berlakunya insiden terbabit.

Dalam kejadian itu, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Ka Siong berkata, dalam menentukan suatu dapatan salah dan tanggungan, proses perundangan sewajarnya perlu dilaksanakan demi memastikan bahawa prinsip keadilan sejagat turut diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian pelanggaran LRT terbabit.

Jelasnya, Jawatankuasa Siasatan juga bukannya ditubuhkan bagi menjatuhkan hukuman dan MOT tiada kuasa menghakimi apa juga kes.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, ketika beliau mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Siasatan untuk memeriksa secara terperinci perlanggaran LRT itu, segala rujukan dapatan jawatankuasa berkenaan juga haruslah dijelaskan dalam mencapai misinya.

“Kami ingin mengelakkan perkara seperti ini berulang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menegaskan, peranan jawatankuasa itu adalah menentukan faktor dan sebab berlakunya kejadian berkenaan, iaitu fungsi utama penubuhannya dan menyelesaikannya dalam tempoh ditetapkan.

“Siasatan dilakukan berdasarkan fakta dan analisa data diperoleh dan atau diberikan kepada jawatankuasa berkenaan secara profesional dengan keutamaannya adalah memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Saya juga secara peribadi sudah mengunjungi serta menghubungi mangsa yang cedera dan kami memandang serius terhadap apa yang menimpa mereka,” katanya.

Selain itu, Ka Siong berkata, seperti dimaklumkannya pada sidang media 10 Jun lalu, sebanyak 23 cadangan yang dibentang dan diterima Kabinet adalah bagi membawa perubahan menyeluruh berhubung prosedur operasi keselamatan Rapid Rail Sdn Bhd serta Prasarana, malah akan dilaksanakan dalam jangka masa dikemukakan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.