Hishammuddin gesa bawa masuk lebih banyak vaksin

58

13 JUN: Kerajaan perlu membuat pertimbangan serius dan membenarkan lebih banyak vaksin yang sudah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dibawa masuk dan digunakan bagi mempercepatkan proses pemberian suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ini perlu berikutan negara sekarang berhadapan dengan situasi luar biasa yang memerlukan kerajaan bertindak cepat bagi menangani kegelisahan dan kelesuan dihadapi oleh rakyat Malaysia akibat pendemik COVID-19 yang melanda negara lebih 450 hari lalu.

Ahli Parlimen Semberong itu berkata setakat ini Malaysia hanya meluluskan penggunaan Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca untuk memberikan suntikan vaksin kepada penduduk di negara ini biarpun terdapat banyak lagi pilihan lain.

“Banyak negara telah meluluskan vaksin lain dalam program vaksinasi mereka. Malah, WHO telah menyenaraikan Johnson & Johnson, Moderna dan Sinopharm untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia. Pastinya mereka tidak salah.

“Ya, saya faham pihak berkuasa berkaitan di negara kita perlu melakukan proses pengesahan dan penyiasatan secara teliti (due diligence). Tetapi dalam berdepan situasi tidak normal seperti hari ini, kita tidak boleh gunakan prosedur biasa. Agensi-agensi kita mesti bergerak seiring dengan badan antarabangsa…pantas dalam menetapkan kelulusan kecemasan,” katanya yang sedang menjalani kuarantin kendiri akibat menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dalam satu kenyataannya hari ini.

HISHAMMUDDIN mahu kerajaan membuat pertimbangan lebih serius dengan membawa lebih banyak vaksin yang dilulukan oleh WHO dengan kadar segera.

Pendekatan membawa masuk lebih banyak vaksin adalah antara tiga cadangan mudah dikemukakan Hishammuddin kepada kerajaan bagi membolehkan Malaysia keluar daripada ‘paradoks pandemik COVID-19’ dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Hishammuddin juga menggesa kerajaan mempertimbangkan secara serius pelbagai tawaran bantuan oleh negara sahabat untuk membantu Malaysia keluar daripada masalah pendemik COVID-19.

Hishammuddin berkata banyak rakan Malaysia di seluruh dunia turut menawarkan bantuan tetapi birokrasi menjadi penghalang utama.

“Tawaran bantuan ini seharusnya diterima dengan kesungguhan dan bukannya keengganan. Ini pertimbangan antara melakukan perkara secara betul atau melaksanakan perkara yang betul. Menolak atau menerima tawaran ini turut akan beri kesan kepada kami di Kementerian Luar Negeri.

“Sekiranya tawaran ini tidak diterima dengan bersungguh-sungguh, ia berisiko menggugat hubungan diplomatik atau lebih teruk lagi menjejaskan integriti negara kita di pentas antarabangsa. Saya rasa ini bukan risiko yang wajar kita ambil,” katanya.

Dalam pada itu Hishammuddin juga mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran seperti mana disarankan oleh ramai pakar kesihatan dan ahli politik, sebelum ini.

“Ujian saringan secara besar-besaran akan membolehkan kita menguji, mengenal pasti dan mengasingkan mereka yang positif dengan lebih cepat sekali gus mengupayakan kita mengurus wabak ini dengan lebih baik. Namun untuk melaksanakannya, kita perlukan perancangan sama ada untuk meningkatkan kapasiti makmal, menambah kit ujian COVID-19 atau memberi subsidi kos untuk melakukan ujian saringan.

“Melangkah ke hadapan, saya yakin kombinasi cadangan-cadangan ini dapat membawa transformasi terhadap strategi pengurusan COVID-19 kita. Pendekatan bersepadu untuk kesihatan awam amat diperlukan seperti PKP yang ketat, tumpuan terhadap usaha vaksinasi serta ujian saringan.

“Hakikatnya, apabila lebih ramai dapat dikenal pasti lebih awal dan/atau sudah mendapat imunisasi, nyawa boleh dilindungi seterusnya angka kematian akan berkurang. Transisi yang sistematik inilah matlamat akhir kita. Agar rakyat Malaysia dapat kembali menjalani kehidupan seharian secara normal,” katanya.

Hishammuddin berkata Malaysia mungkin menghadapi tragedi lebih teruk jika kerajaan tidak muhasabah kesilapan dan kelemahan dilakukan sebelum ini.

“Kita mesti berusaha untuk tidak mengulanginya. Sekiranya kita tidak berubah menjadi lebih baik, bagaimana kita akan berupaya menangani lebih banyak cabaran pada era pascapandemik ini? Varian dan mutasi baharu, masa depan pendidikan anak-anak kita, kesihatan mental dan nasib ekonomi kita.

“Kita mungkin belum melihat situasi terburuk, tetapi kita tetap perlu berwaspada. Kita mesti bertekad untuk melakukan segala yang termampu dengan bekerjasama antara satu sama lain demi memerangi wabak ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.