Hospital ATM HSA bantu tingkat kapasiti katil

42

13 JUN: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penubuhan Hospital Medan Angkatan Tentera (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) mampu membantu meningkatkan kapasiti katil COVID-19 di Johor Bahru.

Jelasnya, hospital medan keenam di Malaysia yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) itu, dibina bagi menampung kapasiti hospital dan wad unit rawatan rapi (ICU) di Johor Bahru.

“Hospital Medan ATM di HSA mempunyai empat katil ICU dan 60 katil wad untuk pesakit kategori 3 dan 4, malah operasinya dijangka bermula pada 17 Jun ini.

“Pengoperasian hospital ini akan membantu meningkatkan kapasiti katil wad COVID-19 dan ICU di Johor, khususnya di Johor Bahru. Terima kasih diucapkan kepada yang sentiasa memberikan bantuan kepada KKM dalam perjuangan kita melawan COVID-19,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Menerusi perkongsian di laman sosial itu, beliau turut memaklumkan pihak KKM menerima lawatan dan tinjauan dilakukan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di hospital medan berkenaan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan katil wad di HSA adalah khusus bagi merawat pesakit COVID-19 di Johor Bahru yang kini sudah mencapai 92 peratus.

Katanya, bagi penggunaan katil di wad ICU di hospital itu, sebanyak lebih 70 peratus kemudahan terbabit sudah dipenuhi setakat ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.