Ubat bernilai lebih RM2 juta dirampas

47

13 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya merampas 61,864 unit ubat bernilai lebih RM2 juta dalam Operasi Pangea XIV yang bermula 18 sehingga 25 Mei lalu.

Dalam operasi itu, KKM turut menyekat akses ke lebih 2,600 laman sesawang termasuk web gelap atau ‘Dark Web’ yang menjual produk farmaseutikal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, berkata operasi kali ini memberi tumpuan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan berbahaya termasuk peranti perubatan.

Beliau berkata, tumpuan turut diberikan terhadap penjualan ubat-ubatan dan peranti perubatan yang disalahgunakan bagi tujuan rawatan COVID-19.

“Sebanyak 2,600 laman sesawang termasuk Dark Web dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang sudah dipantau, disiasat dan diambil tindakan.

“Menerusi operasi ini kita dapati terdapat penjual yang tidak bertanggungjawab yang terus-menerus mengambil peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan menjual produk perlindungan untuk wabak COVID-19.

NOOR HISHAM

“Buktinya, ubat-ubatan terkawal yang dikatakan untuk rawatan COVID-19, pelitup muka, termometer, sarung tangan, gaun pembedahan, test-kit untuk COVID-19, nasal aspirator dan swab beralkohol yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan banyak dijual di dalam talian.

“Selain itu, terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, operasi berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Pos Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.

Katanya, sepanjang operasi berkenaan pihaknya turut memeriksa 972 bungkusan yang dipos dan daripada jumlah berkenaan 9,115 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dirampas.

“Nilai rampasan adalah sebanyak RM108,352 dan 60 peratus produk yang dirampas pada tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

“Selain itu 18 peratus daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik dan selebihnya adalah ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat anti inflammatory dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM.

“Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara membabitkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.

“Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 961 unit ubat tidak berdaftar dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM42,213,” katanya.

Dr Noor Hisham menambah, menerusi operasi itu pihaknya turut menjalankan serbuan secara bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terbabit dengan penjualan secara dalam talian.

“Semasa operasi kali ini, 94 premis perniagaan yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan juga premis yang mengedarkan bahan psikotropik yang tidak berdaftar turut diserbu.

“Dalam serbuan berkenaan, 61,864 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang turut dirampas untuk tindakan lanjut dengan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM2,071,855.

“Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk ” katanya.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata operasi ini turut menjalankan aktiviti kesedaran kepada orang awam mengenai potensi bahaya membeli ubat-ubatan secara dalam talian.

“Sebanyak 206 kempen kesedaran pengguna diadakan sepanjang tempoh operasi terbabit antaranya di media sosial, termasuk panduan video mengenai pembelian ubat dalam talian yang selamat.

“Pada tahun ini juga, pendidikan mengenai penjualan peranti perubatan untuk COVID-19 turut diadakan di farmasi komuniti. Tujuan utama aktiviti ini diadakan adalah untuk memberikan penerangan mengenai peranti perubatan dan syarat untuk pendaftaran peranti perubatan,” katanya.

Beliau memaklumkan, pihaknya masih meneruskan pemantauan di laman sesawang dan media sosial serta mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi menangani isu penjualan produk farmaseutikal dan peranti perubatan dalam talian walaupun selepas Operasi Pangea berakhir.

“Pautan di laman sesawang yang menjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan mempunyai tuntutan rawatan COVID-19, masih lagi disaring dan disekat.

“Selain itu notifikasi juga sentiasa dikeluarkan kepada platform e-marketplace bagi menurunkan penjualan produk tidak berdaftar atas tujuan yang sama.

“Orang ramai perlu memastikan produk kesihatan yang dijual sama ada di dalam talian ataupun di premis mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk sebelum membeli produk tersebut.

“Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” atau boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan berkenaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.