Singapura-Malaysia sepakat perkukuhkan hubungan dua hala

24

12 JUN: Singapura dan Malaysia berharap perjalanan rentas sempadan di antara dua negara itu dapat disambung semula apabila situasi COVID-19 bertambah baik.

Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran, berkata beliau dan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Wee Ka Siong, bersepakat bahawa usaha itu, termasuk penyambungan Sistem Transit Rapid Johor Bahru dan Singapura akan lebih memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara.

Katanya, perkara itu adalah antara topik dibincangkan ketika beliau mengadakan panggilan video bersama Ka Siong malam tadi, bagi membincangkan pelbagai isu berhubung kerjasama kedua-dua negara.

“Kedua-dua pihak juga akan terus melabur pada masa depan,” katanya menerusi muat naik status di Facebook rasminya, malam tadi.

Iswaran berkata, kedua-dua pihak turut setuju untuk meneruskan kerjasama erat di platform antarabangsa, seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa, terutama mengenai isu transnasional jangka panjang seperti perubahan iklim serta pengangkutan mampan.

Jelasnya, kedua-dua pihak akan terus berhubung rapat dan bekerjasama bagi manfaat republik berkenaan serta Malaysia.

Sementara itu, Ka Siong menerusi Facebook turut memaklumkan mengenai perbincangannya selama kira-kira setengah jam bersama Iswaran yang memfokuskan banyak perkara, demi manfaat rakyat dan pentadbiran kedua-dua negara.

“Ini merupakan kali pertama kami berhubung secara dalam talian bagi urusan rasmi membabitkan portfolio.

“Dalam perbualan selama kira-kira 30 minit ini, kami membincangkan banyak perkara membabitkan sektor pengangkutan darat, laut dan udara,” katanya.

Ka Siong berkata, beliau dan Iswaran turut saling berkongsi pandangan mengenai usaha dijalankan dalam menangani COVID-19, seperti program vaksinasi dan inisiatif memulihkan semula ekonomi.

“Kami juga akan meneruskan perbincangan seperti ini dengan menggunakan segala platform yang ada susulan penutupan pintu sempadan kedua-dua negara akibat pandemik terbabit.

“Apa yang pasti, hubungan diplomasi Malaysia dan Singapura ini akan terus diperkukuhkan demi kebaikan bersama,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.