Perkhidmatan Awam,e-hailing Dibenar Beroperasi- MOT

51

12 JUN: Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilanjutkan sehingga 28 Jun ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Namun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pemandu teksi diminta mendapatkan surat kebenaran beroperasi dari Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di https://application.mot.gov.my. bagi memudah cara perjalanan. 

Bagi pemandu e-hailing pula, beliau memaklumkan mereka boleh mendapatkan salinan surat kebenaran Kementerian Pengangkutan (MOT) yang telah diberikan kepada syarikat operasi (e-hailing operator) masing masing. 

“Surat tersebut berserta Lesen PSV (passenger service vehicle) yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diperlukan sebagai bukti kebenaran beroperasi di Sekatan Jalan Raya (SJR). 

“Setiap perkhidmatan teksi dan e-hailing dihadkan kepada kapasiti dua orang termasuk pemandu namun bagi tujuan perubatan seperti janji temu hospital atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera atau bagi
tujuan kecemasan, tiga orang penumpang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau kenderaan e-hailing dalam satu masa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Dalam pada itu, Ka Siong menegaskan bahawa orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri atau rentas daerah daripada pihak polis sekiranya menggunakan mana-mana mod pengangkutan awam bagi perjalanan yang berkaitan.

“Kesemua pemain industri yang telah mendapat kelulusan di bawah SMILE bertarikh sebelum 1 Jun 2021 juga boleh memuat turun semula surat pengesahan beroperasi di laman web yang sama tanpa perlu mendaftar semula.

“MOT sekali lagi mengingatkan semua pihak termasuk para pemandu dan pengguna pengangkutan awam agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan 

“Ini termasuklah memakai pelitup separuh muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan sosial selagi boleh serta mengimbas kod QR MySejahtera,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.