Bantuan kepada semua sektor bukti keprihatinan kerajaan

22

12 JUN: Kerajaan sentiasa prihatin mendengar permasalahan semua pihak yang terkesan akibat COVID-19,  termasuk komuniti perniagaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata, keprihatinan kerajaan itu dapat dilihat menerusi usaha membantu pihak terbabit menerusi pelbagai pakej rangsangan disediakan bagi mengurangkan beban kewangan mereka.

“Pada 31 Mei lalu, kerajaan mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) bernilai RM40 bilion.

“Malah awal tahun ini, kerajaan melancarkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion.

“Dari sektor pengangkutan pula, kerajaan memperkenalkan pengecualian cukai jualan kenderaan bagi pembelian kenderaan baharu untuk tempoh 15 Jun hingga 31 Disember tahun lalu dan melanjutkan insiatif terbabit selama enam bulan sehingga hujung bulan ini serta pelbagai inisiatif lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmiannya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-43 Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) yang diadakan secara maya, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor Chong Boon.

Mengulas mengenai acara itu, Ka Siong berkata, kerajaan dan sektor swasta sama-sama berdepan cabaran tidak pernah dihadapi sebelum ini berikutan penularan COVID-19 sejak lebih setahun lalu.

Biarpun berdepan ketidaktentuan, beliau berkata, FMCCAM berjaya memainkan peranan cemerlang dalam meletakkan asas berdepan cabaran luar jangka.

Hasil FMCCAM, katanya, memanfaatkan teknologi dan menawarkan perkhidmatan dalam talian, selain membolehkan industri automobil masih mampu berkhidmat kepada orang awam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Usaha FMCCAM ini membuahkan hasil apabila transaksi pemilikan dalam talian menyumbang kepada purata RM40 bilion setiap tahun dan ini adalah pencapaian membanggakan dicapai persatuan,” katanya.

“Malah saya difahamkan, industri penjualan kenderaan tidak terjejas akibat pandemik ini kecuali ketika pelaksanaan PKP pada Mac dan April tahun lalu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.