MEF,Samenta sambut baik keputusan kerajaan lanjut PKP

19

12 JUN: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memandangkan purata kadar jangkitan harian Covid-19 masih tidak berkurang di bawah 5,000. 

Namun, Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman mengharapkan akan akan ada langkah-langkah efektif untuk meningkatkan perniagaan.

“Meskipun adalah satu keperluan untuk melanjutkan PKP 3.0 bagi tempoh dua minggu lagi, kerajaan juga perlu memastikan langkah-langkah berkesan disediakan. 

“Ini perlu untuk menyokong majikan yang terkesan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi.

Berikutan itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan PKP 3.0 akan disambung untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa pada 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.

Beliau berkata, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871.

Semalam, Malaysia merekodkan 6,849 kes baharu menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 78,864 setakat ini.

Sementara itu Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta), Datuk William Ng berkata, meskipun bersetuju PKP 3.0 perlu dilanjutkan memandangkan kes jangkitan COVID-19 masih tinggi, namun merayu kerajaan untuk menimbang supaya sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan dengan kapasiti terhad.

Secara umum, beliau mengesahkan Samenta tidak pernah meminta supaya PKP diperketatkan namun percaya PKP 3.0 dapat menurunkan kadar jangkitan jika diberi masa, tanpa perlunya semua aktiviti ekonomi dihentikan

“Dengan pengumuman perpanjangan PKP diperketat, kami berharap kerajaan dapat melanjutkan program subsidi upah hingga akhir tahun, membenarkan moratorium pinjaman bank secara automatik dan bebas faedah. 

“Selain itu, diharapkan juga kerajaan menangguhkan semua bayaran berkanun termasuk ansuran cukai pendapatan dari Mei hingga Disember 2021,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.