Kes Sembuh Tertinggi Dua Hari Berturut-Turut 

50

12 JUN: Malaysia hari ini merekodkan kes sembuh COVID-19 tertinggi sejak wabak terbabit melanda negara ini iaitu 8,334 kes, di mana turut menunjukkan peningkatan selama dua  hari berturut-turut. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah terbabit menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 572,113 kes manakala 652, 204 kumulatif keseluruhan kes dengan kes aktif menurun kepada 76,247 kes berbanding semalam, iaitu 78, 864 kes.

Menurut beliau, jumlah kes kematian wabak tersebut pada hari ini merekodkan kembali penurunan iaitu 76 kes, menjadikan jumlah kumulatif kematian kes pandemik terbabit di Malaysia adalah sebanyak 3,844 kes atau 0.59 peratus daripada keseluruhan kes. 

“Sebanyak 76 kes kematian pada hari ini dan 27 daripadanya berlaku di Selangor, masing-masing sembilan kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, lapan kes di Johor dan masing-masing lima kes di Sabah dan Melaka. 

“Selain itu,empat kes di Sarawak, tiga kes di Kelantan, dua kes di Kedah, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini. 

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu hari ini mencatatkan 5,793 dan daripada jumlah itu, 5787 kes daripada adalah kes tempatan manakala enam merupakan kes import. 

“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 914 orang termasuk dan 459 yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 24 kluster baharu dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu, 15 adalah kluster berkaitan kluster tempat kerja, tujuh kluster komuniti dan dua lagi merupakan kluster pusat tahanan.

Bagi kluster tempat kerja,menurut beliau, empat daripadanya direkodkan di Selangor iaitu Industri Batu 46, Industri Jalan Bandar Lama, Industri Jalan Sellathevan dan Industri Jalan Udang Galah manakala Flora Blue Valley serta Industri Jalan 1/6 Gebeng merupakan kluster tersebut di kawasan Pahang. 

“Selain itu, dua direkodkan di Negeri Sembilan iaitu di Industri Jalan Haruan Enam dan Industri Taman Melur serta dua turut dikesan di Johor iaitu di Jalan Pekeliling Tanjung dan Jalan Besar Simpang Renggam. 

“Manakala tiga lagi kluster baharu tempat kerja dikesan di Jalan Lai Tet Loke, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Desa Pulau Rusa, Terengganu dan Dah Bukit Makmur di  Kedah. Bagi kluster komuniti, tiga daripadanya direkodkan di Sabah iaitu di Kampung Baru Sipitang, Indah dan Ambar Park. 

“Di Kelantan, dua kluster komuniti dikesan iaitu di Kampung Kubang Batu dan Ketereh manakala selebihnya direkodkan di Sarawak iaitu di Kampung Sinar Budi Baru serta Melatai. Bagi kluster baharu pusat tahanan, ianya berjaya dikesan di Tembok Bukit Mertajam, Pulau Pinang serta Jalan Bachok-Tok Bali di Kelantan, “katanya. 

Tambah Noor Hisham, jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 2, 462 dan sebanyak 1,701 kluster telah ditamatkan di samping hanya 761 kluster yang masih aktif- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.