Tolak penubuhan badan autoritarian,kekalkan kerajaan awam

330

22 JUN: Perdana Menteri tidak mengambil cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bersifat autoritarian kerana mahu mengekalkan ciri-ciri kerajaan civilian (kerajaan awam).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata cadangan penubuhan MAGERAN sekiranya dinilai daripada segi logik kuasa, memudahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir kerana membolehkan kuasa dipusatkan dengan lebih kuat.

Jelasnya MAGERAN pernah diwujudkan bagi menggantikan Kabinet selepas Pilihan Raya Umum 1969, tetapi sekarang Perikatan Nasional (PN) mengekalkan Kabinet penuh dengan menjalankan fungsi seperti biasa dan pendekatan ini boleh dilakukan kerana darurat yang dikuatkuasakan ketika ini adalah darurat kesihatan, bukannya berkait keselamatan.

“Kita juga ada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang aktif menguruskan pandemik dengan membabitkan dua jenis sidang MKN, iaitu pertama Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19 yang berlangsung minimum dua kali seminggu.

“Manakala, kedua, Sidang Khas MKN Mengenai Darurat yang diadakan minimum sekali setiap seminggu, ditambah Mesyuarat Kabinet setiap minggu, menyaksikan ada empat mesyuarat khusus bagi menangani hal ehwal semasa.

“Itu belum lagi jawatankuasa-jawatankuasa teknikal yang berbentuk operasional,” katanya menerusi kenyataan dimuatnaik di Facebook rasminya, hari ini.

Cadangan penubuhan MAGERAN dikemukakan Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, kelmarin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan terbabit diyakini mampu menyelesaikan beberapa masalah dihadapi negara, kesan penularan COVID-19.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, semua isu pengurusan pandemik terbabit, seperti keputusan berkaitan kesihatan awam, kuarantin, saringan rakyat, saringan pekerja asing, rawatan, vaksinasi serta prosedur operasi standard (SOP) dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Keputusan mesyuarat itu, katanya, akan dilaksanakan sebaik mungkin setiap kementerian yang bertanggungjawab.

Semua kementerian dan jentera kerajaan juga, jelasnya, sentiasa berfungsi secara optimum, manakala semua keputusan adalah berdasarkan data serta fakta terperinci bagi membolehkan keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi rakyat dibincangkan dengan kerap, selain keputusan dibuat tepat pada masa.

“Adakah keputusan akan berubah-ubah? Ya sudah pasti dan kita memang harapkan ia berubah, terutama ke arah yang mengembalikan norma hidup rakyat, sebab data terkini berubah setiap masa.

“Situasi dinamik memerlukan pengurusan yang dinamik seperti dilakukan kerajaan kini.

“Adakah keputusan akan sentiasa betul? Pasti tidak semuanya tetapi kerja secara berpasukan ini membawa kemungkinan lebih besar kita akan sentiasa buat keputusan terbaik untuk sesuatu waktu itu, berdasarkan data pada masa terbabit dan memudahkan pembetulan dibuat jika tersalah,” katanya.

Selain itu, Wan Saiful berkata, beliau melihat Muhyiddin tenang dan fokus dalam mengurus COVID-19 walaupun ada beberapa keputusan akan membuatkan kerajaan menjadi tidak popular atau dituduh ‘flip flop’.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri tegas demi melaksanakan yang terbaik untuk rakyat berdasarkan data terkini, biarpun tidak popular atau mengundang tohmahan.

“Sesekali ia menyebabkan kerja orang macam saya jadi sukar. Macam mana nak terangkan kepada rakyat bila dari awal kita dah tahu ia tidak popular?

“Tetapi itulah cara Tan Sri Muhyiddin. Bukan populariti yang dicari. Kalau keputusan itu perlu disegerakan untuk kebaikan rakyat, laksanakan segera walaupun belum sempat buat media ‘engagement’. Yang penting bagi beliau ialah menjaga rakyat, walaupun ada kesan politik kepada dirinya sendiri,” katanya.

Wan Saiful berkata, isu COVID adalah antara perkara yang amat tidak wajar dipolitikkan, malah seharusnya mana yang baik disokong semua pihak, manakala mana yang lemah diperbaiki bersama, bukan menuding tuding jari di sana sini. Sebaiknya kita pakat-pakat usaha supaya #MenangBersama.

“Tapi #KlusterMerungut diketuai Najib Razak dan barisan pembangkang setiap hari cuba mencari kesalahan dan claim kredit.

“Saya faham Najib desperate (terdesak) supaya orang terlupa jenayah dan rompakan yang dia lakukan, manakala pembangkang pula cuba menutup perbalahan dalaman mereka. Tapi kalau iya pun, pilih-pilih lah isu yang sesuai,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.