Kehadiran Penduduk Luar Punca Gelang Pink Tak Cukup

27

12 JUN: Kehadiran penduduk dari lokasi lain menjalani ujian saringan COVID-19 di Kampung Kutan Tengah, Tumpat di Kelantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenal pasti sebagai punca bekalan gelang pink tidak mencukupi.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin ketika menjelaskan perkara itu berkata, pihaknya menyediakan kira-kira 1,000 gelang merah jambu bagi menampung keperluan penduduk Kampung Kutan Tengah berjumlah 990 orang, pada sesi ujian calitan itu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kutan, bermula kelmarin hingga semalam.

Bagaimanapun katanya, keadaan menjadi tidak terkawal apabila penduduk di dua kampung lain iaitu Kampung Kutan Hilir dan Kampung Kutan Hulu turut hadir ke pusat tersebut untuk menjalani ujian saringan.

“Hingga kini, seramai 1,198 individu hadir menjalani ujian calitan, termasuk 208 dari dua perkampungan berhampiran itu yang tidak terbabit PKPD.

“Kami memang ada senarai nama penduduk dalam lokaliti PKPD. Apabila mereka datang beramai-ramai, kami tetap menjalankan ujian calitan yang menyebabkan gelang merah jambu tidak mencukupi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Zaini memaklumkan, masalah tersebut berjaya diselesaikan segera dengan penambahan gelang berkenaan.

“Isu kekurangan gelang merah jambu itu tular apabila ada pihak membangkitkannya melalui hantaran dalam laman sosial, malah mendakwa PKPD di kawasan terbabit tidak ditangani secara serius,” katanya. 

Sementara itu, Zaini berkata setakat semalam, 20 individu dikesan positif COVID-19, termasuk dari luar lokaliti PKPD Kampung Kutan Tengah, Mukim Wakaf Bharu.

Bagi PKPD di Kampung Ketil, Mukim Pengkalan Kubor pula, beliau mengesahkan seramai 792 daripada keseluruhan 1,357 penduduk, sudah menjalani ujian calitan dengan seorang dikesan positif COVID-19.

“Ujian calitan diteruskan, hari ini, berikutan masih ramai penduduk lokaliti berkenaan masih belum disaring.

“Kita juga mendapatkan bantuan daripada pemimpin setempat dan agensi berkaitan untuk kelancaran proses ujian calitan membabitkan hampir separuh lagi penduduk Kampung Ketil,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.