Guru kelas peperiksaan diutamakan terima vaksin

45

12 JUN: Guru kelas peperiksaan akan diutamakan untuk menerima vaksin COVID-19 sekiranya terdapat keperluan menghadiri pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka apabila keadaan pandemik itu semakin pulih. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata perkara itu sudah dibincangkan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.

“Katakanlah kita nak buka sekolah dalam keadaan pandemik ini bertambah baik, kumpulan yang akan ke sekolah dahulu adalah pelajar kelas peperiksaan, termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

“Dalam konteks ini selepas berbincang dengan Menteri yang menguruskan PICK, kita bersetuju supaya guru kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk menerima vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Soal Rakyat Khas bertajuk ‘Cabaran SPM Dalam Era Pandemik’ yang disiarkan secara langsung hari ini.

KPM, katanya akan terus memantau keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi meningkatkan lagi kaedah penyampaiannya.

“Benar kita kena pantau, kena tahu berapa murid terbabit dalam PdPR, bagaimana penyampaian guru dan sebagainya kerana ada banyak kaedah untuk kita melihat keberkesanannya, antaranya guru perlu menghantar laporan, ada pemantau dalam sesi PdPR dan sebagainya,” katanya.

Radzi berkata, selain PdPR, sebagai persediaan SPM 2021, KPM turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan DidikTV.

“Ini adalah satu pendekatan yang berkesan. Guru berkongsi apakah pendekatan untuk menjawab peperiksaan dan ini boleh dilihat di seluruh negara selagi ada televisyen di rumah.

“Saya sendiri duduk di depan televisyen dan menonton DidikTV ini. Sebenarnya banyak yang kita belajar daripada SPM 2020 untuk menambahbaik SPM 2021,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.