Alhamdulillah, Semua Dalam Keadaan Baik-Ebit Lew

45

12 JUN: Kementerian Luar Negeri sedang mendapatkan perkembangan terkini mengenai pendakwah terkenal, Ebit Lew yang kini difahamkan masih berada di Gaza dalam misi kemanusiaan bagi membantu rakyat negara tersebut

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, pihaknya akan memeriksa lanjut tarikh penerbangan pulang pendakwah itu ke tanah air.

“Kami sedang periksa (perkembangan Ebit),” katanya menerusi kenyataan ringkas, hari ini.

Terdahulu, Ebit Lew pada 25 Mei lalu dilapor berlepas ke Mesir untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.

Kamarudin dalam satu kenyataan pada 26 Mei lalu memaklumkan misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew itu mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Menurutnya, segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir.

Bagaimanapun, tindakan Ebit Lew tidak mengemas kini laman sosial miliknya sejak berlepas ke Mesir menimbulkan kerisauan buat masyarakat negara ini khusus pengikutnya.

Kerisauan itu terjawab apabila Ebit Lew memuat naik hantaran terbaharu di Facebook beliau menyatakan kesyukuran dan dalam keadaan sihat sejahtera, kini masih di Gaza meneruskan misi tersebut.

Beliau berkongsi perkara itu menerusi Facebook miliknya hari ini turut memohon doa orang ramai agar semuanya berjalan dengan lancar.

“Doakan ya. Alhamdulillah semua dalam keadaan baik. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.