Aduan kes hina institusi Diraja makin meningkat

30

12 JUN: Tindakan tegas akan diambil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap mana-mana pihak yang didapati mengeluarkan kenyataan yang menganggu gugat atau melakukan hasutan terhadap institusi Diraja. 

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana pihaknya mendapati sejak akhir-akhir ini terdapat kenaikan kes penghinaan terhadap institusi diraja.

“Yang boleh menyebabkan gangguan ketenteraman awam kita akan ambil tindakan mengikut lunas perundangan dalam negara kita ini.” katanya pada sidang media Rangkuman Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah turut mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai cadangan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran). 

“Dia kata apa? Dia mencadangkan supaya mengadakan Mageran dan bagi pada dia. Kalau dia tidak berhenti dulu, tak jadi permintaan itu kot.

“Kalau anda (Tun Mahathir) sudah berhenti menjadi Perdana Menteri, cukup-cukup lah,” katanya.

Sementara itu, Hamzah yang juga merupakan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seharusnya bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan setiap pelarian di negara ini dapat divaksinasi dalam usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok.

Menurut beliau, ketika ini pihaknya tidak mempunyai senarai sebenar jumlah pelarian yang kini berlindung dalam negara ini sebaliknya hanya dimaklumkan oleh UNHCR bahawa ada sejumlah 178,715 di negara ini.

“Kami sudah meminta dengan UNHCR supaya memberikan senarai (pelarian) namun setakat ini tidak ada senarai itu.

“NGO perlu berbincang dengan UNHCR. Mereka tidak sepatutnya bergaduh dengan saya tetapi memastikan UNHCR memberikan senarai nama pelarian itu,” katanya 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.