6 individu terbabit pergaduhan isu agama direman 2 hari

111

12 JUN: Enam individu, membabitkan seorang pelanggan dan lima penghantar makanan direman dua hari sehingga esok, bagi membantu siasatan kes pergaduhan berkaitan isu yang menyentuh sensitiviti agama di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan.

“Beri polis masa dan ruang untuk siasat kes ini secara menyeluruh.

“Kita akan maklumkan sekiranya ada tangkapan baharu atau terdapat pihak dikehendaki bagi membantu siasatan,” katanya kepada media, hari ini.

Semalam Portal PN BBC melaporkan, polis menahan enam lelaki terbabit yang berusia antara 19 hingga 40 tahun.

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan polis daripada seorang pengadu lelaki berusia 19 tahun kira-kira jam 2.30 petang selepas tidak berpuas hati terhadap seorang pelanggan menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama ketika memesan makanan.

Tangkap layar dibuat pengadu berhubung pesanan itu kemudian ditularkannya di dalam aplikasi komunikasi kumpulan penghantar makanan di kawasan berkenaan, sekali gus menimbulkan kemarahan mereka yang pergi ke rumah pelanggan terbabit.

Pelanggan berusia 29 tahun itu kemudian dipukul kumpulan terbabit sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan pihak berkuasa.

Justeru, polis menahan pelanggan dan lima penghantar makanan berkenaan yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, ketika mengulas tahanan reman kumpulan berkenaan di Facebook rasminya, hari ini, berkata tempoh terbabit diberikan mahkamah walaupun polis mengemukakan permohonan empat hari.

Beliau bagaimapun enggan mengulas fakta lanjut kes terbabit kerana belum dibicarakan walaupun ramai pihak bertanyakan penjelasan mengenainya.

Dalam perkongsian statusnya itu juga, Zainul Rijal memaklumkan beliau berpandangan kumpulan penghantar makanan berkenaan memerlukan pembelaan.

“Selesai isu remand Foodpanda Rider. Remand (reman) kena dua hari sahaja walaupun polis minta empat hari.

“Ramai yang tanya tentang kes ini tetapi saya tak ceritakan fakta kes kerana masih belum bicara. Yang jelas pada pandangan saya mereka perlukan pembelaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.