Tidak Sesuai Untuk Parlimen Bersidang Buat Masa Ini

92

11 MEI: Saranan pemimpin politik blok pembangkang kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Parlimen kembali bersidang disifatkan sebagai tidak bersesuaian dan tidak tepat pada masanya. 

Penganalisis politik, Dr Mohd Irwan Syazli Saidin berkata, ini kerana keutamaan kerajaan ketika ini ditumpukan kepada usaha mengawal serta mencegah wabak COVID-19 yang semakin meningkat. 

Menurut beliau, seluruh jentera kerajaan sedang memfokus kepada tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan pelan vaksinasi dan beliau yakin Parlimen akan segera dipanggil bersidang apabila tiba masa yang sesuai. 

“Situasi COVID-19 yang kini dalam keadaan membimbangkan ini membuatkan persidangan Parlimen belum bersedia untuk dibuka sepenuhnya memadangkan kita juga dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang mana kita mahu kawal pergerakan. 

“Saya yakin lepas kita tamat pelaksanaan PKP dan kes positif mencatatkan kes penurunan yang positif sehingga memberi nafas lega kepada petugas barisan hadapan, ada sudah keperluan di situ untuk disegerakan pembukaan Parlimen. 

“Ini kerana sebenarnya kita tak boleh terlalu lama tiada persidangan Parlimen kerana pelbagai dasar, kewangan, bajet semua kena dibahaskan dan ada ketulusannya menerusi Parlimen,” katanya kepada wartawan PN BBC Portal ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan pemimpin pembangkang yang mengessa kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa agar Parlimen kembali bersidang.

Terdahulu, blok pembangkang ketika menghadap sembah Al-Sultan Abdullah semalam mengemukakan candangan agar kerajaan mengembalikan persidangan Parlimen. 

Gesaan itu dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika melakukan pertemuan bersama Seri Paduka Baginda di Istana Negara, semalam. 

Dalam pada itu, Irwan memaklumkan sungguhpun negara berhadapan dengan krisis kesihatan akibat gelombang keempat penularan COVID-19, setiap pemimpin dari parti kerajaan mahupun pembangkang serta seluruh rakyat mesti bersikap postitif dalam memain peranan masing-masing.

Beliau yang juga merupakan Pensyarah Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (Sphea), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pihak kerajaan dan pembangkang perlu bersama mencari jalan penyelesaian di samping hentikan menuding jari antara satu sama lain. 

“Saya harap kesemua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang dalam masa getir ini betulkan niat dan agenda mereka yang kini hanya perlu menumpukan kepada kesihatan dan keselamatan rakyat di Malaysia. 

” Cari jalan untuk selesaikan permasalahan ini, wujudkan pasukan petugas yang melibatkan semua pihak sama ada dari parti kerajaan mahupun pembangkang beserta badan profesional dalam bidang kesihatan dan ekonomi memandangkan jumlah peningkatan kes yang semakin parah.

“Sudah tiba masanya pihak kerajaan dan pembangkang bersama-sama berganding bahu dalam isu ini, jangan hanya mencari salah mana-mana pihak dan ketepikan perkara lain terlebih dahulu dan utamakan kebajikan rakyat serta memikirkan bersama cara terbaik untuk meredakan kes yang semakin meningkat, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.