Tidak perlu Mageran ketika negara sedang memerangi COVID-19

18

11 JUN: Malaysia tidak memerlukan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti diwujudkan pada tahun 1969 disebabkan kerajaan sedia ada boleh meneruskan pelaksanaan segala program dan keputusan pentadbiran untuk memerangi pandemik COVID-19. 

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, dengan segala pelaksanaan perancangan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu memulihkan ekonomi dan menyelamatkan kesusahan rakyat.  

Menurut beliau, pada tahun 1969, negara diancam krisis  keselamatan akibat daripada rusuhan perkauman 13 Mei, ketenteraman awam dan perpaduan kaum yang serius.  

“Proklamasi Darurat ketika ini boleh diguna pakai untuk membolehkan kerajaan memerangi wabak COVID-19 bagi membendung pandemik dan menyelamatkan nyawa rakyat.  

“Walau bagaimanapun, sudah lebih lima bulan di bawah Proklamasi Darurat,  Covid-19 tidak kelihatan berkurangan.  Yang positifnya, vaksin sudah tiba,  program vaksinasi sudah bermula. 

“Dan sekarang perkara itu merupakan fokus kerajaan yang utama.  InsyaAllah, segalanya akan berjalan lancar dan berjaya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad menegaskan kuasa dan perundangan diperlukan bagi  melawan COVID-19 dan mengatur program-program  pemulihan ekonomi dan bantuan kepada rakyat untuk dikuatkuasakan.

Justeru, beliau berkata, dari sudut yang lain, negara tidak lagi perlu diletak berterusan di bawah  pemerintahan darurat kerana tempoh tujuh bulan darurat kesihatan sudah mencukupi. 

“Kerajaan hanya perlu ketegasan dan kejujuran untuk melaksanakan setiap keputusan dengan lancar dan berani. Apa yang kerajaan perlu lakukan sekarang demi untuk kebaikan negara dan  pemulihan suara rakyat di bawah sistem pemerintahan demokrasi berparlimen ialah darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos nanti. 

“Parlimen perlu dibuka untuk rakyat mendapat jawapan segala persoalan yang berkaitan penggunaan wang negara dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk keselamatan kehidupan rakyat seterusnya.

” Yang paling utama  ialah kelancaran PICK supaya menjelang 2022, 80 peratus rakyat sudah menerima vaksin sebagai benteng mempertahankan diri mereka daripada  serangan bencana  COVID-19 yang akan datang, ” katanya. 

Semalam, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad telah membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 iaitu Mageran bagi menangani krisis-krisis yang sedang melanda negara.

Bekas Perdana Menteri itu turut menyenaraikan empat krisis yang dihadapi negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi, kewangan dan politik yang diyakini mampu diatasi dengan penubuhan Mageran ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini. 

Dr Mahathir menjelaskan, Mageran 1969 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Tun Abdul Razak Hussein telah berjaya menyelesaikan masalah politik apabila mengajak parti lawan menyertai kerajaan malah majlis itu juga telah menstabilkan politik dan ekonomi negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.