Surat lucut keahlian Hishammuddin palsu

45

11 JUN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, menafikan surat tular bahawa parti itu melucutkan keahlian Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkuatkuasa serta merta.

Justeru, beliau berkata, surat yang tular berhubung perkara itu tidak benar dan dakwaan terbabit tidak berasas serta berita palsu.

Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga tidak mengadakan sebarang mesyuarat hari ini, seperti tertulis dalam surat tular itu.

“Keputusan sedemikian tidak dibangkitkan dalam mesyuarat yang tidak pernah diadakan.

“Mana ada mesyuarat MKT hari ini. Palsu merata alam,” katanya kepada media, hari ini.

Manakala Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, khabar angin UMNO telah melucutkan keahlian Ahli Parlimen Semberong merangkap Bendahari Agung BN berkenaan adalah tidak benar dan berniat jahat mahu mengeruhkan hubungan dalam kalangan pemimpin parti itu.

“Surat pelucutan keahlian UMNO dikeluarkan kepada Hishammuddin yang tular di media sosial adalah palsu kerana tiada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang diadakan hari ini.

“Saya sahkan tiada MKT UMNO diadakan hari ini apatah lagi pelucutan keahlian. Ini semua palsu dan fitnah jahat”, katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Terdahulu tular surat kononnya mendakwa Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, telah dilucutkan keahlian UMNO serta merta berikutan perkembangan politik semasa tanah air.

Surat bertarikh 11 Jun 2021 yang ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini tular di media sosial yang memaklumkan parti itu melucutkan keahlian Hishammuddin.

Menerusi surat itu, dimaklumkan pelucutan keahlian yang berkuatkuasa serta merta itu dibuat di bawah fasal 10.6 Perlembagaan UMNO.

Keputusan terbabit adalah kerana tindakan Menteri Luar itu yang melanggar fasal 20.8 (a), (b), (c) dan (g) Perlembagaan UMNO.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan kononnya Hishammuddin bakal diangkat menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin Yassin mengundur diri daripada jawatan terbabit dalam masa terdekat. 

Portal berkenaan juga melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali pula akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam proses rombakan Kabinet akan datang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.