PPV Mega MIECC mampu berikan 8,000 dos suntikan sehari

127

11 JUN: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan membuka satu lagi pusat pemberian vaksin (PPV) mega Lembah Klang bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa MINES (MIECC)  di Seri Kembangan, Selangor yang akan mula beroperasi mulai Isnin ini.

CITF dalam satu kenyataan berkata pihaknya berharap pembukaan PPV MIECC itu dapat membantu mempercepatkan proses pemberiaan pelalian di bawah Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada penduduk di Lembah Klang, pada masa depan

“Bagi memastikan kelancaran program pada hari pertama dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang tempoh pandemik, penjadualan jumlah janji temu hari pertama untuk MIECC dihadkan kepada 4,900 daripada kapasiti penuh iaitu 8,000.

“Jumlah ini akan ditambah secara berperingkat dalam masa terdekat. Janji temu di PPV MIECC yang bermula dari 9 pagi sehingga 8 malam sedang dikeluarkan ketika ini dan orang ramai diminta untuk menyemak aplikasi MySejahtera mereka bagi mendapatkan butiran janji temu vaksinasi COVID-19 masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

CITF berkata mereka yang diberikan janji temu dinasihatkan untuk sebaik-baiknya hadir tidak terlalu awal, sebaliknya tiba di MIECC 30 minit sebelum waktu janji temu bagi mengelakkan kesesakan.

Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, MIECC adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkasakan kadar vaksinasi dengan pembukaan enam PPV mega (PPV berkapasiti besar) seperti Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Axiata Arena, Setia City Convention Centre (SCCC) dan UiTM Puncak Alam.

Secara keseluruhannya, seramai 30,000 orang boleh divaksinasi setiap hari melalui 7 PPV ini.

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu syarikat tidak berasaskan keuntungan milik KKM akan menguruskan PPV MIECC.

Menurut CITF, pembukaan MIECC adalah sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memastikan kadar vaksinasi terus dikekalkan secara konsisten bagi mempercepatkan program vaksinasi negara untuk membendung penularan wabak COVID-19.

“Setakat ini, kadar vaksinasi negara telah mencecah paras 150,000 dos sehari dan kerajaan menyasarkan untuk terus mempertingkatkan usaha vaksinasi bagi mencapai jumlah suntikan 200,000 dos sehari dalam masa terdekat,” katanya.

Untuk maklumat atau sebarang pengumuman terkini, sila ikuti kami di laman media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) @JKJAVMY.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai janji temu boleh diajukan ke platform berikut, MySejahtera Helpdesk : mysejahtera.malaysia.gov.my/help/ atau laman web (semakan janji temu) : www.vaksincovid.gov.my/semak-status/ serta Pusat Panggilan PICK : 1800-888-828

Get real time updates directly on you device, subscribe now.