PKPD di UUM, dua lokaliti di Sabah mulai 13 Jun ini

53

11 JUN: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok Kedah dan dua lokaliti di Sabah berkuat kuasa mulai 13 hingga 26 Jun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD UUM dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan hasil saringan ke atas 208 penghuni universiti tersebut.

Ismail Sabri berkata KKM juga mendapati, berlaku penularan kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampus UUM Sintok berkuat kuasa 13 Jun sehingga 26 Jun 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke kampus serta memudahkan KKM membuat pemantauan ke atas pelajar sedang menjalani kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD Kampung Kadazan, Tawau, Sabah pula dilaksanakan selepas KKM mendapati sehingga kini berlaku peningkatan kes ketara di kawasan terbabit.

Malah, dalam tempoh seminggu apabila sebanyak 14 kes positif COVID-19 telah dilaporkan hasil daripada 45 ujian
saringan yang dilakukan oleh KKM dengan kadar positiviti 31.11%.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kadazan, Tawau, Sabah berkuat kuasa 13 Jun sehingga 26 Jun 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga setuju melaksanakan PKPD di Taman Villa Felca Nambazan, Penampang, Sabah dari 13 hingga 26 Jun 2021 berikutan peningkatan kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut apabila sebanyak 8 kes positif telah direkodkan dalam tempoh satu minggu.

“Pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan untuk mengekang penularan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.