PKP 3.0 dilanjutkan dua minggu lagi

142

11 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi.

Berikutan itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan PKP 3.0 akan disambung untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa pada 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.

Beliau berkata, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871.

“Senarai positif/negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini.

“Mengenai senarai tersebut, boleh dirujuk kepada laman sesawang kementerian berkaitan dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Jelasnya lagi, memandangkan semua senarai positif/negatif dan SOP adalah sama seperti sebelum ini, maka beliau berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP.

“Justeru saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguat kuasa,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri mengesahkan
seramai 828 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP di seluruh negara semalam termasuk  759 individu dikompaun, 68 direman manakala seorang lagi dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan tidak memakai pelitup muka (162), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (150) dan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (134).

Seramai 103 individu lagi ditahan kerana kesalahan tiada penjarakan fizikal (103), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (86), membawa penumpang berlebihan (85), premis gagal patuhi arahan (10) dan lain-lain (98),” katanya.

Beliau berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah melakukan 91,408 pemeriksaan semalam.

Ia melibatkan 4,760 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 20,018 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.