Permohonan Pulau Pinang Adakan Sidang DUN Ditolak

17

11 JUN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak permohonon Kerajaan Pulau Pinang bagi mengadakan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dalam tempoh Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa.

Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, MKN memaklumkan Mesyuarat DUN Pulau Pinang tidak diadakan ketika ini kerana bilangan kes COVID-19 di seluruh negara masih pada tahap yang membimbangkan.

“MKN juga menyatakan DUN tidak boleh diadakan kerana kes COVID-19 yang tinggi akan menimbulkan kebimbangan dan sebarang perhimpunan melibatkan perkumpulan individu yang ramai perlu dielakkan.

“MKN telah menyatakan pandangan bahawa sementara Ordinan Darurat masih berkuat kuasa, Mesyuarat DUN Pulau Pinang tidak sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini.

“Permohonan dilakukan setelah mendapatkan pandangan undang-undang dari Jabatan Peguam Negara melalui Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Mengulas lanjut, Choo Kiang memaklumkan pandangan MKN itu dinyatakan dalam satu maklum balas selepas pihaknya telah membuat permohonan secara bertulis pada 23 April lalu kepada Ketua Pengarah MKN dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk tujuan tersebut.

Menurut beliau, menerusi surat permohonan tersebut juga, pihaknya telah menyatakan hasrat mengadakan Persidangan DUN pada Jun untuk meluluskan usul calon pilihan raya berumur 18 tahun ke atas serta beberapa usul lain yang tertangguh.

“Namun setelah ia diteliti dan dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat dan juga Sidang Darurat MKN, permohonan itu telah ditolak.

“Pada 20 Mei lalu, Ketua Pengarah MKN, Datuk Mohd Rabin Basir dan JPM telah mengemukakan maklum balas secara bertulis berhubung permohonan tersebut dengan menyatakan ia tidak sesuai diadakan pada waktu ini,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap perintah Ordinan Darurat boleh ditamatkan secepat mungkin supaya DUN Pulau Pinang dapat kembali berfungsi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri.

“Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Ke-14 akan dijadualkan segera setelah tempoh Ordinan Darurat ditamatkan,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.