Ordinan Darurat bolehkan HPKK UKM jadi hospital COVID-19 – Muhyiddin

52

11 JUN: Pelaksanaan Ordinan Darurat ketika Malaysia berdepan COVID-19 dapat membantu memastikan fungsi sistem kesihatan negara berada pada tahap optimum.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu termasuk membolehkan pengoperasian Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai sebuah hospital COVID-19.

Pengoperasian itu, katanya, susulan penguatkuasaan Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang ditandatangani beliau pada 4 Jun lalu.

MUHYIDDIN meninjau proses pemberian vaksin di PPV pandu lalu di HPKK UKM hari ini.

“Melalui kedua-dua seksyen ini, Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mengambilmilikan sementara HPKK UKM dan lain-lain sumber, termasuk sumber manusia bagi tujuan menangani pandemik COVID-19.

“Ingin saya nyatakan di sini bahawa langkah-langkah seperti kerjasama antara KKM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Ordinan Darurat ini adalah penting untuk menentukan supaya sistem kesihatan kita tidak runtuh sewaktu situasi COVID-19

“Alhamdulillah sejak bermulanya pandemik ini sehinggalah sekarang, kerajaan terus komited membiayai pelbagai kemudahan dan peruntukan di bawah Ordinan Darurat bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan negara kita dapat meneruskan fungsinya pada tahap optimum,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

Muhyiddin pada pagi ini, mengadakan lawatan ke HPKK UKM untuk melihat persiapan pihak hospital berkenaan bagi menerima dan merawat pesakit COVID-19 bermula minggu hadapan.

SEORANG petugas memberikan vaksin kepada penerima di HPKK UKM.

“Alhamdulillah dengan adanya HPKK UKM ini, KKM mempunyai fasiliti tambahan untuk menguruskan pesakit-pesakit COVID-19 yang kritikal dari kawasan sekitar Lembah Klang,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, ketika lawatan berkenaan beliau berkesempatan melihat proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di HPKK UKM yang dioperasikan secara bersama dengan kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Insya-Allah semoga semua usaha ini akan membantu untuk mempercepatkan proses pemberian vaksinasi dan seterusnya mencapai imuniti berkelompok disasarkan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.