KKM kesan produk kosmetik mengandungi racun

32

11 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesan produk kosmetik, Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream mengandungi racun berjadual Tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, berkata notifikasi produk kosmetik terbabit sudah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM.

“Oleh itu, produk kosmetik terbabit tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

“Produk mengandungi Tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan atas nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan produk mengandungi bahan terbabit tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan,” katanya menerusi pautan kenyataan media yang diciap di Twitter rasminya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesan sampingan itu, termasuk bahagian kulit disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Justeru, katanya, orang ramai digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik terbabit.

Orang ramai yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikannya.

“Mana-mana individu yang sedang menggunakan produk ini juga disaran mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Pada masa sama, orang ramai digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) menerusi alamat www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat naik daripada Google Play Store,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, KKM memberi peringatan kepada penjual dan pengedar produk kosmetik itu supaya menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta. 

Penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu, katanya adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

“Syarikat melakukan kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.