DBKL Tidak Buka Ruang Niaga Harian Lorong TAR

46

11 JUN: Ruang niaga harian di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur tidak akan dibuka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan ruang niaga itu di bawah program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) bukanlah berkonsepkan Bazar Ramadan.

“Jangkaan pelaksanaan pembukaan ruang niaga harian di Lorong TAR adalah pada Julai 2021 namun masih tertakluk kepada arahan semasa kerajaan pusat berkenaan pematuhan PKP pada masa tersebut.

“Poster ruang niaga harian di Lorong TAR yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) pada 8 Jun lalu bertujuan sebagai iklan dan makluman kepada orang awam bahawa sesi pendaftaran bagi ruang niaga harian akan ditutup pada 15 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DBKL tidak akan membuka ruang niaga harian di Jalan TAR ini sepanjang PKP 3.0.

DBKL berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ameer Ali yang merupakan Presiden Masjid India Business Association (MIBA) menyelar tindakan ruang niaga harian di Lorong TAR yang mendakwa kononnya kerajaan ingin membuka program tersebut ketika keadaan PKP. 

Ia turut menjelaskan berhubungan dakwaan Datuk Ameer Ali Mydin bahawa UAMK merupakan program utama KWP dan DBKL khusus buat usahawan belia di Wilayah Persekutuan berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai minat berniaga dan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan untuk mendapatkan bantuan kios dan pakej perniagaan yang ditawarkan.

“Usahawan di bawah UAMK ini hanya boleh beroperasi mengikut masa yang dibenarkan sahaja dan tidak sama dengan operasi Bazar Ramadan atau Bazar Hari Raya,” katanya. 

Mengulas lanjut, DBKL memberitahu setiap permohonan akan melalui proses saringan yang ketat kerana pemilihan pemohon dibuat berdasarkan kaedah tapisan oleh agensi melalui maklumat yang dikemukakan.

“Pemohon yang disenarai pendek akan dipanggil untuk proses temuduga dan hanya pemohon yang layak serta lulus tapisan awal akan dipilih semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota. 

“Terdapat 679 tapak kios UAMK di lokasi strategik telah dikenalpasti di seluruh WPKL. Ruang niaga harian di Lorong TAR adalah cadangan lokasi baharu yang hanya menawarkan 50 tapak kiosk sahaja,” katanya. 

Dalam pada itu, DBKL berkata usaha tersebut selaras dengan tujuh Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 dalam menyediakan ruang perniagaan harian di Lorong TAR dengan jumlah peniaga yang terhad khusus kepada belia di bawah Program pembangunan UAMK WP Kuala Lumpur dengan petak perniagaan berukuran lapan kaki persegi dan berjarak lapan kaki di antara setiap unit gerai.

“Melalui program UAMK, golongan belia berpeluang memulakan perniagaan dan menjana ekonomi sendiri bagi membiayai diri dan keluarga. Program ini juga dapat membantu anak-anak muda yang kehilangan pekerjaan ekoran ketidakstabilan ekonomi global lantaran pandemik wabak COVID-19.

“Ketika ini, DBKL sedang membuat perancangan terperinci untuk melaksanakan program ini serta masih dalam peringkat mendapatkan maklum balas bagi mengenal pasti jenis-jenis perniagaan yang sesuai,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.