22 universiti tempatan tersenarai 200 terbaik dunia

81

11 JUN: Pencapaian membanggakan diraih 22 universiti tempatan yang tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2022, membuktikan kualiti pendidikan tinggi di negara ini adalah bertaraf dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata masyarakat negara ini perlu yakin dengan kemampuan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan kerana pencapaian itu membuktikan kualitinya setara universiti antarabangsa.

MQA juga, katanya, sentiasa memantau dan mengawal selia kualiti universiti tempatan berkenaan, sekali gus menepis tanggapan kononnya universiti luar negara lebih baik daripada IPT tempatan.

mohammad shatar sabran
MOHAMMAD SHATAR

“Dulu mungkin kita ketinggalan kerana jumlah universiti tempatan masih sedikit dan kualitinya belum seperti sekarang, membuatkan masyarakat berlumba-lumba menghantar anak ke luar negara.

“Bagaimanapun, kualiti kita kini sudah setaraf dengan universiti antarabangsa, malah ada beberapa IPT kita lebih baik daripada mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini bagi mengulas pencapaian universiti tempatan dalam senarai penarafan QS World University Rankings 2022 yang diumumkan, baru-baru ini.

Mohammad Shatar berkata, lebih membanggakan apabila universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM) terus berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia yang disifatkan bukan mudah untuk mengekalkan pencapaian itu selama empat tahun berturut-turut.

“Dalam penarafan itu, empat universiti awam penyelidikan negara, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kekal berada di kelompok 200 terbaik dunia.

“Selain itu, turut tersenarai Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Multimedia (MMU),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.