UMMAH desak polis siasat NGO mahu Agong cuti

63

10 JUN: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mendesak polis menjalan siasatan terperinci terhadap pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengambil cuti selama enam bulan.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata polis perlu menyiasat perkara itu kerana dibimbangi ianya terkait dengan agenda ahli politik yang didalangi oleh kuasa asing.

Berikutan itu, UMMAH akan segera membuat laporan polis di seluruh negara bagi menyiasat perkara tersebut.

MOHD ZAI

“Perlu ditegaskan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi pilihan raya berparlimen dan Raja Berpelembagaan, dan sebarang perkara dan tindakan yang cuba melanggari perkara tersebut adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan memerangi Yang di-Pertuan Agong.

“Kuasa-kuasa dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan telah dilaksanakan sebaiknya oleh Seri Paduka Baginda semasa menyelesaikan krisis politik perebutan kuasa yang menyebab kerajaan PH jatuh, akibat peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.

“Berikutan itu, Majlis Raja-raja telah bersidang serta berperanan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan yang terbaik kepada negara demi kestabilan politik dan pentadbiran negara yang terus utuh sehingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Mohd Zai berkata UMMAH menegaskan sebarang agenda yang menyalahi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara akan ditolak dan ditentang oleh rakyat Malaysia.

Sebelum ini, tular melalui whatsApp, dua Pengasas Agenda Reset Malaysia, Datuk Aziz Chemor dan Datuk Dr Mohd Ramalan Yunus mencadangkan supaya Al-Sultan Abdullah diberikan cuti rehat selama enam bulan dan tugas Seri Paduka Baginda dijalankan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mereka turut mencadangkan kedudukan Sultan Nazrin digantikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, memandangkan kedua-dua sultan itu dilihat gandingan mantap pada saat cemas seperti dialami negara kini kerana memiliki keberanian dan ketegasan tinggi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.