SPM 2020: 1,098 calon MRSM catat 9A

126

10 JUN: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) melakar prestasi memberangsangkan apabila seramai 1,098 orang pelajarnya yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh keputusan 9A serta mencatat kejayaan dengan mencapai 100 peratus gred lulus dalam semua mata pelajaran. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2019 iaitu 761 orang manakala hanya 22 orang berjaya memperoleh keputusan 9A+.

Menurut beliau, sebanyak lapan buah MRSM menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan GPM kurang daripada 2.0 iaitu MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Langkawi, MRSM Taiping, MRSM Alor Gajah, MRSM Kuala Kubu Bharu, MRSM Johor Bahru, MRSM Kuantan dan MRSM Pengkalan Hulu.

ABD LATIFF

“SPM 2020 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.359. Keputusan ini menunjukkan peningkatan prestasi berbanding SPM 2019 (2.538) dan SPM 2018 (2.458).

“Subjek teras dalam SPM 2020 iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Matematik menunjukkan peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) berbanding SPM 2019. 

“Di samping itu, pencapaian subjek STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam SPM 2020 juga menunjukkan peningkatan GPS bagi subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dan Reka Cipta,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Selain itu, katanya, subjek elektif lain seperti Prinsip Perakaunan, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah dan Ekonomi juga menunjukkan peningkatan dari segi GPS. 

Dalam pada itu, Abd Latiff memaklumkan komitmen pengurusan MARA dan MRSM serta semua warga guru memainkan peranan besar dalam kejayaan SPM 2020. 

Beliau berkata, sinergi semua pihak dalam memastikan segala program yang disusun berjalan lancar walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19.

“MARA akan terus komited untuk meningkatkan prestasi akademik calon-calon SPM tahun 2021. Antara inisiatif yang telah diambil ialah menetapkan pakej mata pelajaran dengan memberi fokus kepada bilangan maksimum subjek yang diambil dan menyusun semula peruntukan sela masa bagi subjek-subjek STEM,” katanya. 

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mencatatkan pencapaian yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pencapaian GPN 4.80 itu adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, Calon Layak Sijil SPM juga menunjukkan peningkatan sebanyak 1.96 peratus iaitu 88.68 peratus bagi SPM 2020 berbanding 86.72 peratus untuk SPM 2019.

Tambahnya, bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK) Layak Sijil SPM, terdapat 6.88 peratus peningkatan iaitu 68.22 peratus bagi SPM 2020 berbanding 61.34 peratus untuk SPM 2019.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.