Saya Masih MB Terengganu – Ahmad Samsuri

39

10 JUN: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan tidak timbul soal pertukaran Menteri Besar walaupun tersebarnya gambar 10 individu yang didakwa sebagai calon bagi menggantikan beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu turut menafikan berlakunya perpecahan dalam PAS hingga wujud spekulasi sedemikian.

“Saya bangun tidur pagi ini, masih lagi Menteri Besar dan tidak timbul lagi apa apa isu. 

“Tidak ada perpecahan, ini (perbuatan) orang tidak ingat api neraka, buat fitnah ini. Jadi saya nak seru orang ramai, ingatlah bahawa buat fitnah itu, api neraka ada. 

“Kita hidup lama-lama akan mati juga,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Jusoh Muda iaitu mangsa kebakaran rumah yang meninggal dunia pada Khamis lalu selepas tiga hari dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu, hari ini. 

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika mengulas spekulasi yang mengatakan beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang kononnya tersepit dengan pihak istana serta wujud usaha daripada dalam PAS untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar. 

Justeru, Ahmad Samsuri memaklumkan, beliau menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung penularan berita tidak benar berkenaan.

Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid membuat laporan polis berhubung satu artikel disiarkan sebuah portal tempatan pada Selasa yang disifatkan sebagai fitnah terhadap Ahmad Samsuri.

Muhyiddin membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 4 petang, kelmarin. 

Portal berkenaan mendakwa kedudukan Ahmad Samsuri kini tersepit antara masalahnya dengan pihak istana serta usaha pimpinan lain dalam Pas untuk mengambil alih tempat beliau.

Satu borang ‘surat akuan berkanun’ didakwa sudah disediakan membolehkan ADUN di Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan mereka menolak Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar.

Borang berkenaan dikatakan disediakan untuk ADUN kedua-dua parti sama ada daripada Pas yang mempunyai 22 ADUN dan UMNO yang mempunyai 10 ADUN.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.