Pelantikan Setiausaha Agung amanah besar – Zambry

13

10 JUN: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menganggap pelantikannya ke jawatan itu bukan keistimewaan untuk diraikan, sebaliknya amanah besar yang wajib dilaksanakan sebaik mungkin demi terus memperkukuh serta menguatkan parti.

Katanya, selaku Setiausaha Agung, beliau juga akur bahawa kedudukan sebagai pemimpin kanan parti itu adalah tanggungjawab besar dan mencabar.

“Tugas sebagai SUA adalah untuk mengendali urusan dan perjalanan pentadbiran BN, selain membantu pimpinan utama komponen BN di peringkat pusat, negeri serta parlimen.

“Justeru, saya berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu tugas diletakkan di jemala bukannya sebuah keistimewaan perlu diraikan, tetapi sebaliknya sebuah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu dilantik sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan keputusan berhubung pelantikan bekas Menteri Besar Perak itu, dibuat sebulat suara ahli Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat.

Selain itu, Zambry berkata, usaha menyempurnakan tanggungjawab berkenaan memerlukan solidariti dan keteguhan di semua tahap pimpinan serta ahli BN di peringkat akar umbi bagi menjayakan cita-cita bersama.

“BN adalah citra pembentukan  persefahaman politik bagi sebuah negara Malaysia yang mempunyai keunikan kepelbagaian demografi, etnik, agama dan wilayah.

“Makanya usaha untuk memperkukuhkan BN sebagai mewakili kesegaran wajah politik masa kini dan keteguhan semangat baharu adalah menjadi keutamaan,” katanya.

Pada masa sama, Zambry berkata beliau akan berusaha memperbaiki kekurangan, memperbetulkan matlamat dan membina semula kekuatan parti ditengah-tengah kedinamikan politik baharu.

Dalam menjalankan amanah itu, katanya, beliau juga akan menjadikan kepintaran kuasa media sosial sebagai panduan.

Lantaran itu, jelasnya, prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ akan menjadi amalan kepimpinan beliau, disulami dengan semangat musyawarah dan pembinaan konsensus.

“Terima kasih semua atas pesanan dan mesej melalui medsos (media sosial). Segala ucapan tahniah, nasihat dan kritikan baik serta destruktif tetap saya santuni sebagai panduan untuk memulakan langkah penuh cabaran.

“Selaku SUA baharu, saya mendoakan agar diberi kekuatan dan petunjuk serta hidayah Ilahi bagi melakukan yang terbaik kepada BN dan demi kemaslahatan rakyat serta negara,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.