Johor Peruntuk RM40 Juta Untuk Beli Vaksin COVID-19 

14

10 JUN : Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi tujuan pembelian vaksin COVID-19 dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) untuk rakyat di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pembelian itu merupakan fokus pertama pemerkasaan pandemik negeri ini daripada sebahagian Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang memperuntukkan RM241 juta yang diumumkan, hari ini. 

“Inisiatif ini membolehkan pihak KPJ menjual vaksin kepada mereka yang memerlukan. Secara keseluruhan, kerajaan negeri memperuntukkan RM75 juta 

“Ini bagi tujuan untuk melaksanakan empat inisiatif berkaitan pemerkasaan pengurusan pandemik, termasuk pembelian vaksin COVID-19,” katanya ketika mengumumkan pakej rangsangan tersebut secara maya menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Hasni memaklumkan, kerajaan negeri juga akan membeli sebanyak 190,000 unit kit ujian RTK Antigen, bagi menyokong usaha ujian saringan bersasar. 

Di mana, kata beliau, inisiatif tersebut akan dilaksanakan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan (SUK BKP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

“Saringan bersasar diperkukuhkan dengan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), akan membeli kit ujian RTK-Antigen, dengan bakal memanfaatkan hampir 60,000 orang.

“Selain itu, sebanyak RM20 juta akan digunakan untuk membiayai operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR), dan membiayai kebajikan petugas barisan hadapan merangkumi elaun, penyediaan makanan dan kelengkapan berkaitan, yang akan terus dilaksanakan hingga Disember 2021.

Sementara itu, Hasni memberitahu, kerajaan negeri Johor akan menubuhkan satu jawatankuasa penasihat dalam usaha mendepani cabaran-cabaran baharu pasca COVID-19.

Menurut beliau, jawatankuasa penasihat berkenaan akan diketuai oleh mantan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, yang juga merupakan Adjunct Professor di Yale University, Amerika Syarikat Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

“Jawatankuasa ini akan memperkukuhkan lagi pengurusan dan tindakan kerajaan negeri terhadap pengurusan pandemik menggunakan sains, data dan teknologi, dan kita mengakui bahawa sains, data dan teknologi, merupakan ramuan utama dalam memastikan keberkesanan usaha melawan COVID-19,” katanya.

Terdahulu, Hasni mengumumkan peruntukan sebanyak RM241 juta bagi PRE Ihsan Johor 3.0 yang mengandungi 33 inisiatif, iaitu peruntukan terbesar pernah diumumkan kerajaan negeri, dalam usaha membantu masyarakat yang terkesan berikutan pandemik berkenaan.

Sebelum ini, Johor melaksanakan PRE Ihsan Johor 1.0 melibatkan peruntukan RM167.33 juta manakala PRE Ihsan Johor 2.0 melibatkan peruntukan RM109.48 juta.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.