COVID-19 Bukan Penghalang Kejayaan Calon SPM 2020

45

10 JUN: Walaupun terpaksa menempuh kesukaran untuk meneruskan pembelajaran sewaktu pandemik COVID-19, namun keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini membuktikan kejayaan semua pihak khususnya pelajar Tingkatan Lima. 

Pengarah Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, penganjuran SPM pada tahun 2020 bukan sahaja berbeza berbanding tahun sebelumnya malah bersejarah kerana menjadi peperiksaan pertama yang terpaksa ditunda sebanyak tiga kali.

Menurut beliau, situasi itu menjadikan calon SPM pada tahun lalu sebagai kelompok pelajar yang tabah dan kental kerana terpaksa bersedia beberapa kali sebelum berjaya menduduki ujian peperiksaan pada Februari lalu.

“Calon SPM 2020 saya boleh gambarkan sebagai calon yang istimewa kerana menempuh satu perjalanan yang bersejarah buat sistem pendidikan negara.

“Kita bukan sahaja kali pertama kali menganjurkan peperiksaan dalam tempoh pandemik malah pelajar juga terpaksa belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR​). Sudah tentu ini satu perjalanan yang cukup mencabar buat mereka.

“Walaupun PdPR yang belum lagi sempurna, calon ini tekad untuk menduduki SPM kerana peperiksaan ini bukan sahaja ditunda selama empat bulan malah tiga kali ditunda dan pengumuman keputusan hari ini adalah sesuatu yang perlu diraikan,” katanya dalam temubual bersama Bernama TV secara maya, hari ini.

Dalam pada itu, Phakaruddin memaklumkan, perjalanan SPM 2020 juga bukan perkara yang mudah kerana banyak perkara yang terpaksa ditempuh Lembaga Peperiksaan sebelum kejayaan dirasai pada hari ini.

“Sejak awal tahun 2020 lag, kita mula merancang perkara yang sepatutnya dilaksanakan khususnya apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pelajar akan memulakan PdPR.

“Perkara yang menjadi perhatian serta kerisauan umum adalah mengenai jadual peperiksaan lebih-lebih lagi SPM yang mempunyai taraf sijil. Oleh itu sejak awal lagi, kami memikirkan apa kaedah terbaik untuk menguruskan calon SPM 2020 dan apa yang perlu dilaksanakan untuk ia terus relevan,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai pendekatan baharu dilakukan Lembaga Peperiksaan untuk menguruskan seramai lebih 400,000 calon SPRM dan antaranya adalah menambah 15,000 bilangan petugas SPM berbanding tahun sebelumnya.

“Kejayaan SPM 2020 akan menjadi aspirasi bagi menguruskan peperiksaan itu pada tahun ini, yang dijangka pada Mac, tahun depan.

“Nasihat saya kepada calon SPM 2021, lihatlah kejayaan yang dicapai calon tahun lalu. Jika mereka boleh berjaya anda juga mampu. Walaupun ada tempoh belajar di rumah, kita juga boleh berjaya sekiranya mengikut setiap arahan dan kewajiban yang dituntut,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.