Chegu Bard beri keterangan isu Aminuddin tidak patuh SOP

51

10 JUN: Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, mengesahkan beliau hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, hari ini bagi dirakamkan keterangan berhubung hantaran di media sosialnya mengenai dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak mematuhi prosedur operasi srandard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, keperluan merakam keterangan membabitkan tempoh lebih sejam itu kerana beliau antara individu awal yang membuat hantaran berhubung perkara terbabit.

Beliau berkata, malah, laporan polis yang dibuat seorang individu, @Bozz Jebat berhubung dakwaan berkenaan juga berdasarkan hantaran media sosialnya itu.

“Oleh kerana saya antara individu awal yang membuat posting (hantaran) dan laporan polis dibuat berdasarkan posting saya, maka saya diminta hadir ke IPD Nilai untuk rakaman percakapan.

“Petang tadi saya hadir ke IPD Nilai bertemu pegawai penyiasat Inspektor Syuhada bagi rakaman percakapan.

“Saya masuk ke IPD Nilai sekitar jam 5.40 petang dan keluar sekitar 6.45 petang,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Bekas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu berkata, semalam, beliau dihubungi pegawai penyiasat IPD Nilai mengenai posting @Bozz Jebat yang mendedahkan Aminuddin melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana menjadi rumah ziarah sosial.

Jelasnya, pegawai penyiasat memberitahu satu kertas siasatan dibuka ke atas Aminuddin kerana pelanggaran SOP yang disengajakan.

Chegu Bard berkata, ziarah atau sebarang mesyuarat fizikal tidak dibenarkan berdasarkan SOP terbaharu Majlis Keselamatan Negara (MKN), malah mesyuarat Kabinet perlu dibuat secara maya, tetapi Aminuddin menjadi tuan rumah majlis kunjungan.

“Satu laporan polis sudah dibuat ke atas beliau dan semua yang terlibat, termasuk jurugambar. Saya yakin polis akan mengambil tindakan kerana jelas berlaku kesalahan.

“Orang biasa jika tuan rumah boleh didenda RM5,000 sehingga RM10,000 mengikut rekod sebelum ini dan tetamu didenda sekitar RM1,000 sehingg RM2,000,” katanya

Menerusi hantarannya, @Bozz Jebat memaklumkan sudah membuat laporan polis ke atas Aminuddin kerana tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Laporan polis itu dibuat berasaskan kepada undang-undang PKP yang menyatakan dengan jelas tidak ada mesyuarat bersemuka atau ziarah dibenarkan. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.